WALAUPUN dipanggil kotak hitam, namun warna peralatan itu adalah oren terang agar ia mudah dicari.
"HABIS LAH! Kita akan terhempas. Ini tidak mungkin terjadi!" kata salah seorang pembantu juruterbang.
"Tapi,
apa yang berlaku?" balas seorang lagi pembantu juruterbang, beberapa
saat sebelum pesawat 330 Airbus milik Air France menjunam ke Lautan
Antlantik, yang mengorbankan 228 nyawa pada 1 Jun 2009.
Perbualan
akhir dalam kokpit dengan situasi cemas dan takut itu diperoleh hasil
transkrip daripada kotak hitam pesawat yang ditemui selepas dua tahun
kejadian tersebut berlaku.
Menerusi
analisis terhadap kotak hitam tersebut, Biro Penyiasatan dan Analisis
Perancis (BEA) menggambarkan keadaan di dalam kokpit Pesawat 447 Air
France itu dalam situasi huru-hara serta kekeliruan juruterbang hingga
membawa kepada kemalangan.
Pesawat
447 yang sepatutnya terbang selama 11 jam ke Paris dengan membawa 216
penumpang dan 12 anak kapal itu terhempas semasa merentasi kawasan ribut
di Lautan Atlantik setelah empat jam berlepas dari Lapangan Terbang Tom
Jobimi, Rio de Janeiro, Brazil.
Sehingga
kini, hanya perbualan antara juruterbang, Kapten Marc Dubois, 58, dan
dua pembantu juruterbang, David Robert, 37 tahun dan Pierre Cedric
Bonin, 32, berjaya dianalisis keluar dari kotak hitam.
Analisis
ke atas kotak hitam pesawat 447 Air France tersebut telah membawa
kepada penemuan antara punca kejadian nahas udara berkenaan di samping
mengambil kira faktor-faktor lain.
Merakam
Kotak
hitam bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kepada teori-teori
tentang kehilangan atau nahas sesebuah pesawat, namun ia merupakan saksi
akhir yang penting dalam menemukan jawapan tentang apa sebenarnya
berlaku ke atas pesawat.
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof.
Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad memberitahu, kotak hitam adalah satu
istilah yang dialih bahasa daripada bahasa Inggeris iaitu black box dan
ia juga istilah untuk dua peralatan penting yang wajib ada dalam
pesawat.
Peralatan pertama dalam kotak hitam adalah perakam suara kokpit (CVR) manakala satu lagi ialah perakam data pesawat (FDR).
Peralatan
CVR yang ada dalam sistem pesawat mempunyai mikrofon dan ia dipasang di
bahagian tengah panel kawalan dalam kokpit. Selain itu, ia turut
dipasang pada mikrofon komunikasi juruterbang dan pembantu juruterbang.
"Jadi,
CVR akan memainkan peranan merakam segala perbualan dalam kokpit dan
juga segala bunyi daripada sekecil-kecil bunyi termasuk ketika memadam
suis sehingga kepada bunyi penggera amaran apabila pesawat hilang
kawalan.
"Bagaimanapun,
lazimnya CVR merakamkan bunyi bagi tempoh dua jam terakhir tamatnya
sesuatu penerbangan tersebut. Ini bermaksud, dalam tempoh itu sama ada
pesawat itu selamat mendarat atau terhempas," katanya.
Mengambil
contoh kejadian MH370 yang berakhir di Lautan Hindi, Kamarul menambah,
kemungkinan rakaman perbualan yang berlaku di Laut Cina Selatan sebelum
itu tidak dapat diperoleh memandangkan jarak dan tempoh masa kejadian
telah melebihi dua jam terakhir.
Mengupas
lebih lanjut, beliau memberitahu, dahulunya kotak hitam menggunakan
sistem analog (pita rakaman seperti kaset) dan ia boleh membuat rakaman
dalam setiap 30 minit terakhir sahaja.
Namun selepas beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh rakaman tersebut telah ditingkatkan kepada dua jam terakhir.
Analisis
"Dalam
tempoh dua jam berkenaan (tempoh kecemasan), juruterbang yang
mengendalikan pesawat akan cuba berpatah balik untuk melakukan
pendaratan kecemasan atau sebaliknya ditimpa musibah iaitu terhempas,"
ujarnya.
Berbeza dengan FDR pula, Kamarul menjelaskan, sistem itu berupaya merakamkan data sepanjang penerbangan dengan kapasiti 24 jam.
Katanya,
ada banyak data akan tersimpan menerusi sistem FDR. Antara data
terpenting ialah kelajuan pesawat, ketinggian pesawat dari aras laut
selain kedudukan terkini pesawat tersebut.
Pada
masa sama, FDR turut merakam data seperti status atau jumlah minyak
pesawat, kedudukan kawalan sayap (daya angkat pesawat) sama ada berlaku
pembelokan atau kenaikan dan penurunan.
Daripada
data FDR tersebut, jelas Kamarul, analisis dan siasatan akan dapat
mengetahui secara tepat bagaimana pesawat tersebut terhempas mahupun
mendarat.
"Bagaimanapun,
bagi mengetahui bagaimana kejadian menimpa sesebuah pesawat itu bukan
bergantung kepada kotak hitam sahaja tetapi ada faktor lain turut
diambil kira, misalnya latar belakang juruterbang, kru dan para
penumpang," jelas beliau.
Sementara
itu, Kamarul memberitahu, hanya beberapa negara sahaja yang memiliki
sistem penerima peranti lokasi dalam air (ULD) bagi mengesan kotak
hitam.
Katanya,
sistem ULD ini akan mengeluarkan isyarat bunyi (beep) setiap satu saat,
namun ia ada kekangan kerana mempunyai had jarak iaitu lingkungan 3.5
kilometer sahaja.
"Kita
harapkan kedalaman Lautan Hindi hampir 4,000 meter dengan puratanya 3.5
kilometer, jika sistem ULD betul-betul berada di atas kotak hitam, maka
ia boleh menerima isyarat bunyi tersebut.
"Disebabkan
itu, kita perlu tahu terlebih dulu kedudukan sebenar pesawat itu
terhempas bagi memastikan kotak hitam berkenaan sememangnya ada di
sekitar kawasan pencarian," ujarnya sambil menambah kotak hitam
sebenarnya berwarna oren supaya ia mudah dikesan.
Mengenai
MH370, kata Kamarul, sebenarnya banyak kemungkinan tetapi semuanya
'atas meja' yang tidak boleh dipastikan, namun ini bukan spekulasi
tetapi dipanggil sebagai jangkaan secara ilmiah berdasarkan kepada
petunjuk dan seterusnya apa akan berlaku.
Meskipun
sistem transponder dan peranti komunikasi dalam pesawat MH370 telah
dimatikan menyebabkan ia hilang dari radar sekunder (utama) ATC, namun
juruterbang boleh berhubung kembali dengan menara kawalan menerusi
radio.
PESAWAT sentiasa diselenggara mengikut jadual bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.
Ujian
Malangnya
dalam kes MH370, komunikasi tersebut tidak berlaku dan antara
kemungkinan tidak adanya komunikasi itu adalah disebabkan berlakunya
kebakaran dalam pesawat.
"Sebagai juruterbang, kita diajar untuk memadam semua suis elektronik bagi mengelak kebakaran daripada terus merebak.
"Persoalannya, apabila suis dipadam, kenapa tidak dilaporkan kepada ATC?"
Sementara
itu, pakar sistem pesawat, Prof. Madya Dr. Mohd. Harridon Mohammed
Suffian dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation
Technology (UniKL MIAT) memberitahu, sistem kotak hitam ini wajib
dipasang pada pesawat komersial oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Katanya,
sebelum dipasang, kotak hitam itu telah melalui pelbagai ujian seperti
ketahanan impak berkapasiti 3,200 G (graviti bumi), tahan suhu lebih
1,000 darjah Celsius serta tekanan kedalaman laut lebih 6,000 meter.
Jelas
beliau, apabila telah siap diuji dan lulus, kotak hitam akan dipasangkan
di bahagian ekor pesawat yang biasanya terakhir menyentuh tanah ketika
jatuh atau terhempas, secara tidak langsung ia akan mengurangkan impak
atau kerosakan pada kotak hitam.
"Kotak
hitam ini dibuat daripada besi aluminium dan titanium yang tahan
hentakan sehingga 3,200 G dan ia akan mengeluarkan isyarat jika ada
hentakan kuat, maknanya pesawat itu meletup atau terhempas. Secara
automatik isyarat akan aktif supaya ia mudah dikesan.
"Lazimnya,
kotak hitam akan diperiksa dan diuji setiap tahun bagi memastikan ia
masih berfungsi dengan baik termasuk pemeriksaan terhadap baterinya yang
mempunyai jangka hayat antara 30 hingga 35 hari," kata Mohd. Harridon.
Katanya,
menerusi rakaman data dan suara daripada kotak hitam tersebut, pasukan
penyiasat dan penganalisis akan melakukan simulasi berdasarkan maklumat
tadi bagi mengenalpasti punca sesebuah pesawat itu terhempas.
"Mereka
akan cuba melakonkan semula kejadian pesawat terhempas itu dengan
menggunakan teknologi grafik bagi memahami kejadian berlaku dan ia akan
dibentangkan kepada DCA.
"Selain
pesawat, kotak hitam juga ada dipasang pada kenderaan pengangkutan yang
lain seperti bas ekspres dan kapal-kapal laut," katanya.
No comments:
Post a Comment