Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee Chuan How berkata, tindakan tersebut sama sekali tidak munasabah kerana borang 14 penting untuk mengisi keputusan PRK selepas pengiraan dibuat ke atas setiap undi.
“Dalam satu taklimat bersama pegawai SPR kepada ejen calon, semalam, mereka menyatakan tidak mahu mengesahkan Borang 14.
“Borang 14 adalah penyata pengundian selepas pengiraan undi. Selepas pengiraan, jumlah undian perlu dicatit ke dalamnya. Contohnya jika DAP dapat 200 undi dan BN 100 undi, ia perlu dicatit, ejen kemudian akan mendapat satu salinan.
“Jadi jika borang kepada ejen calon tidak disahkan, tentunya akan timbul keraguan mengenai keputusan pengiraan,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi Pilihanraya DAP Teluk Intan, hari ini.
Howard yang juga ejen Calon DAP PRK Teluk Intan juga memberitahu bahawa SPR memaklumkan kepada beliau, setiap keputusan rasmi adalah berdasarkan salinan yang berada di tangan mereka.
“Pegawai SPR itu turut mengatakan kepada saya kalau ada keraguan, failkan petisyen saja.
“Mengapa tidak mahu perakui Borang 14? Apakah mereka mempunyai agenda lain?
“Kami membantah tindakan ini kerana semua rakyat mahu pilihanraya berjalan dengan adil dan bersih tanpa sebarang masalah,” ujarnya.
-Roketkini.com
No comments:
Post a Comment