HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Sesuai slogan berjuang melalui kartun, Zunar mendedahkan konspirasi penguasa untuk memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dari kali pertama di era Mahathir hinggalah ke era Najib.
Buku berjudul "Komplot Penjarakan Anwar - Najib jatuh hukum, hakim ikut skrip", menampilkan 59 kartun baru yang mengkritik keras tingkah laku tokoh-tokoh politik, hakim-hakim, tukang sumpah, polis dan Peguam Negara.
"Semua mereka melakonkan sebuah skrip besar memfitnah serta menzalimi Anwar semata-mata untuk memenuhi nafsu serakah tuan-tuan politik untuk terus mengekalkan kuasa. Tuduhan liwat adalah adegan utama lakonan jijik mereka," kata Zunar.
Menurut beliau, semua espisod yang disampaikan dalam buku ini ini bukan kerana sosok Anwar sebagai individu.
"Anwar adalah simbol mangsa kezaliman dan fitnah penguasa. Tetapi dalam melaksanakan skrip konspirasi, penguasa telah mengeheret institusi kehakiman, kepolisian, Peguam Negara, institusi agama dan lain-lain sehingga semua institusi di Malaysia telah hancur. Kesannya akan menimpa semua kita. Kerana itu isu dalam buku ini adalah isu rakyat," tambah beliau.
Menurut kartunis itu lagi, buku ini diterbit bukan atas tujuan mendapat keuntungan, sebaliknya atas tanggung jawab sebagai manusia untuk menyaMpaikan kebenaran memandangkan media kartun adalah cara berkesan.
"Bakat melukis yang dianugerah Tuhan kepada saya bukanlah kelebihan, tetapi adalah sebuah tanggung jawab. Kerana itu saya harus menggunakan karya-karya saya untuk menyampaikan fakta kepada orang ramai terutama yang cuba disembunyikan oleh kerajaan seperti dalam kes Anwar.
"Kerana itu, buku ini hanya dijual dengan harga RM10 dengan tujuan agar ramai mampu memiliki dan menyebarnya," tegas beliau.
Buku setebal 52 muka surat ini diterbitkan dalam dua versi - Bahasa Malaysia dan Inggeris.
Pelancarannya akan dilakukan oleh YB Nurul Izzah, Dato' Ambiga Sreenevasan dan Dato' A Samad Said pada 23 Mei ini, di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Sila klik di sini untuk maklumat lengkap http://bit.ly/1klnxGp .
Buku ini tidak akan dijual di kedai kerana tekanan pihak berkuasa, namun pembelian secara online boleh dibuat di sini BM http://bit.ly/1nbMW9b dan ENG http://bit.ly/1lCPHJS .
- HARAKAHDAILY, 22/5/2014
No comments:
Post a Comment