KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan fatwa berhubung tindakan kerajaan yang berkeras membawa dua ekor beruang panda ke negara ini dengan belanja puluhan juta ringgit sedangkan banyak keperluan golongan daif masih belum dipenuhi.
Presiden Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu membawa dua ekor panda dari negara China dengan berbelanja jutaan ringgit adalah jelas suatu isu yang sepatutnya mendapat fatwa dari institusi fatwa negara.
"Membazir adalah haram dan mengenepikan keperluan golongan daif yang memerlukan dan mengutamakan keselesaan dua ekor haiwan yang bukan untuk keperluan asasi warga rakyat adalah melanggar maqasid syariah ," ujar beliau.
Sehubungan itu, Mapim tegas beliau menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa sama ada tindakan itu selaras dengan kehendak hukum fiqh awlawiyyat (fiqh keutamaan) dalam mengeluarkan perbelanjaan negara yang diambil dari wang rakyat sedangkan terlalu banyak keperluan rakyat perlu diutamakan.
"Hanya kerana hendak menunjukkan simbol perhubungan antara China dan Malaysia , membazirkan wang jutaan ringgit untuk dua ekor panda sama sekali tidak memenuhi maksud perhubungan diplomatik yang baik.
"Malah secara ekonomi ia membebankan Malaysia dan sebaliknya menguntungkan China," katanya.
Dari sudut kebajikan haiwan juga, tambah beliau perbuatan membawa haiwan itu keluar dari habitat asli dan mewujudkan habitat artifisial adalah menyalahi hak dan kebajikan haiwan yang tidak dipandang enteng oleh Islam.
Sambil menyifatkan proses membawa dua ekor panda itu ke negara ini sebagai satu penderaan, beliau berkata menerbangkan dua ekor panda itu sejauh beribu kilometer , serta mewujudkan kandang palsu yang perlu disesuaikan suhunya tidak sepatutnya dilakukan oleh dua negara ini.
"Kami kesal pihak kerajaan yang melulus projek ini dan agensi yang berkenaan yang melaksanakan projek tersebut tidak bersikap kritikal.
"Meneruskan inisiatif yang membazir dan menimbulkan persoalan apakah kerajaan tidak tahu keutamaan akan menyebabkan rakyat tidak lagi yakin sema ada kerajaan kini dikelola oleh mereka yang bijak atau sebaliknya oleh mereka yang berfikiran dangkal," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menyifatkan projek itu pada keseluruhannya tidak memenuhi keutamaan , membazir dan menyalahguna wang rakyat.
"Jika ada penaja sekali pun kami tetap berpendapat ia tidak termasuk dalam penggunaan wang yang sepatutnya dikeluarkan untuk kebajikan rakyat," tegas beliau.
Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan, jelas Azmi tidak boleh melihat isu ini sebagai di luar hukum agama kerana skala perbelanjaannya terlalu tinggi dan pembazirannya sangat ketara.
Ujarnya, isu kos hidup yang meliputi soal perumahan, khidmat kesihatan dan keperluan asas masih dihadapi rakyat berpendapatan rendah dan ia perlu lebih diutamakan kerajaan daripada dua ekor beruang panda.
- HARAKAHDAILY, 22/5/2014
No comments:
Post a Comment