اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Tuesday, January 13, 2015

Extremisme: Kenapa Muhyiddin salah


 

  BICARA MP Kesilapan Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mendakwa bahawa ekstremisme tidak pernah wujud di kalangan Muslim Malaysia samalah dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengagungkan keganasan kumpulan Negara Islam (IS) Jun lalu.


Kesilapan terbaru Muhyiddin ini tergolong sekali dalam senarai kata-kata beliau seperti “Malay first, Malaysian second” serta dakwaan bahawa anak-anak Malaysia mendapat pendidikan lebih baik berbanding di Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Sekiranya tidak ada ekstremis di kalangan Muslim Malaysia, bagaimanakah Cawangan Khas bahagian antipengganas boleh menahan 51 orang yang disyaki militan Malaysia?

Tambahan pula, kenapa pula bilangan Muslim Malaysia yang menyertai peperangan bersama kumpulan IS di Syria dan Iraq bertambah daripada 39 kepada 59 orang sejak Oktober?

Dan kenapa Muslim Malaysia sanggup memohon pembiayaan peribadi bank dan peminjam wang untuk membiayai tambang ke Syria untuk menyertai IS dan mendanai perbelanjaannya di sana, dalam keadaan pembayaran semula pinjaman itu hampir mustahil.

Kenapa sekurang-kurangnya enam orang Muslim Malaysia terkorban di Syria dan Iraq kerana berperang untuk kumpulan IS?

Adakah Muhyiddin juga mencadangkan bahawa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Najib itu tidak relevan, tidak mempunyai peranan dan kepentingan untuk Malaysia tetapi hanya untuk dunia luar?

Hakikatnya memang wujud ekstremis di kalangan semua kaum dan agama, tidak kira di Malaysia mahupun di arena antarabangsa.

Pentaskan kekuatan

Terdapat mereka yang begitu fanatik dengan kebencian kaum dan agama, tidak toleran serta menjadi ancaman serius terhadap masa depan Malaysia dan dunia.

Inilah sebabnya kenapa golongan moderat di Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah atau garis politik, mesti bersatu hati dalam isu sejagat ini.

Ini demi membentuk kesepaduan para moderat bagi menyelamatkan negara daripada fanatik dan ekstremis serta memastikan suara majoriti kesederhanaan, keterangkuman, toleransi dan harmoni akan menenggelamkan suara-suara dan retorik ekstremisme, kebencian dan perpecahan.

Muhyiddin juga harus berhati-hati dengan ucapan dan kenyataannya, kerana seruannya supaya tindakan tegas diambil terhadap pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen (kanan).

Ia kemudian diikuti tindakan pantas polis pada malam yang sama, melibatkan sekitar 20 orang anggota polis untuk menahan Paulsen bawah Akta Hasutan ekoran tweet beliau yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggalakkan ekstremisme.

Adakah wajar bagi pihak polis untuk mementaskan kekuatannya sedemikian, di saat Paulsen telah pun bersetuju semalam untuk hadir ke Bukit Aman dan bekerjasama dalam siasatan polis.

Penahanan Paulsen bawah Akta Hasutan hanya memperlihatkan sikap pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang.

Daripada sikap pilih bulu di peringkat siasatan polis hinggalah pendakwaan terpilih di peguam negara, ia membusukkan nama negara di mata dunia daripada segi kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan.


LIM KIT SIANG ketua Parlimen DAP merangkap ahli Parlimen Gelang Patah.

No comments:

Post a Comment