اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Wednesday, March 4, 2015

Harga ubat naik, bala GST dan TPPA?


Oleh Nurul Izzah Anwar

Saya tegaskan sekali lagi bahawa beberapa harga ubat telah meningkat antara 20% hingga 50% pada 2014 dan dijangka bakal naik mendadak pada tahun ini - kenaikan yang belum lagi mengambil kira kesan pengenalan GST dan perjanjian TPP nanti.

Media semalam melaporkan hasil sebuah kajian daripada Universiti New South Wales menunjukkan bahawa harga ubat-ubatan akan meningkat selepas perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ditandatangani oleh negara yang terlibat.
 


Laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Latihan Penyelidikan dan Penilaian Ekuiti Kesihatan Universiti tersebut mendapati bahawa perjanjian tersebut akan memberikan kuasa kepada syarikat-syarikat farmaseutikal untuk memperbaharui paten ubat-ubatan secara berterusan dan menghentikan saingan daripada ubatan generik.

Laporan itu juga menjelaskan bahawa Amerika Syarikat sedang cuba untuk menghalang syarikat ubatan generik daripada menggunakan data klinikal dari syarikat-syarikat farmaseutikal untuk kelulusan pemasaran, selain daripada perlindungan sepanjang 8 tahun untuk data klinikal, dan 12 tahun untuk ubatan biolijikal dan vaksin.

TPPA mengandungi klausa Intellectual Property Right (IPR) ataupun dikenali sebagai Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights Plus (TRIPS+) yang membolehkan syarikat farmaseutikal memanjangkan paten ubatan.

Dengan itu, TPPA akan menaikkan harga ubat ubatan termasuk menghalang pengimportan ubatan generik.

Malah kebocoran maklumat daripada Wikileaks mengenai perjanjian tersebut juga menyokong fakta ini. Berdasarkan kandungan teks yang bocor di laman tersebut mendakwa terdapat persetujuan bahawa cadangan ke atas lesen wajib ubat-ubatan telah dihapuskan.

Letak harga tinggi

Sekiranya lesen wajib itu dihapuskan dalam perjanjian maka harga ubat-ubatan akan menjadi mahal serta tempoh paten ubat-ubatan akan lebih lama.

Secara langsung ini membolehkan syarikat-syarikat farmaseutikal meletakkan harga yang jauh lebih tinggi untuk ubatan mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah berjanji dan menyatakan bahawa kerajaan sedar perkara ini menjadi kebimbangan rakyat negara ini kerana cadangan berkenaan akan menaikkan harga ubat-ubatan di pasaran.

Menurut beliau, Malaysia bertegas akan menolak cadangan berkaitan hak harta intelek dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) membabitkan ubat-ubatan.

Namun, adakah janji ini boleh ditepati?

Perdana menteri juga ketika di Sidang Kemuncak Asia Timur di Bali telah berjanji bahawa perjanjian TPP hanya akan ditandatangani jika ia bakal bermanfaat untuk rakyat, namun begitu sehingga hari ini laporan kos faedah masih belum dibentangkan.

Sekiranya perjanjian ini diteruskan, rawatan perubatan sudah tentu akan menjadi sebuah hak ekslusif kepada golongan berpendapatan tinggi sahaja, manakala rakyat kelas pertengahan dan rendah akan terus dimangsakan.

Akta Biodiversiti

Perjanjian ini akan menjadi bala yang berganda selepas pengenalan GST.

Dalam pada itu, saya pada hari ini akan menghantar sebuah draf rang undang-undang persendirian Akta Biodiversiti bagi melindungi sumber-sumber alam semulajadi Malaysia daripada dieksploitasikan oleh mana-mana syarikat daripada luar negara.

Salah satu tujuan rang undang-undang ini digubal ialah untuk mengelakkan daripada sebarang sumber alam di Malaysia daripada dipatenkan oleh syarikat-syarikat luar, secara langsung menidakkan hak-hak rakyat Malaysia daripada menikmati hasil alam mereka sendiri.

Usaha ini sedikit sebanyak persediaan di dalam mengekang dan mengurangkan impak negatif perjanjian TPP ini.

Justeru, kerajaan haruslah menimbangkan cara yang terbaik bagi melindungi rakyat Malaysia daripada terus dimangsakan oleh negara-negara maju.

Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan rakyat mempunyai akses yang sama rata tanpa mengira status ekonomi terhadap ubat-ubatan yang penting.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan sumber alam semulajadi di Malaysia adalah hak mutlak rakyat, bukan dieksploitasi oleh kuasa-kuasa besar.

NURUL IZZAH ANWAR anggota parlimen Lembah Pantai dan naib presiden PKR.

Posted on Wednesday, March 04 @ 14:34:40 MYT by paktam

No comments:

Post a Comment