Warkah Waad Misi Melayu Abad Ke-21
Berikut adalah waad (janji) yang dilafazkan dalam Perhimpunan Gerakan
Perpaduan Melayu Mahawangsa di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam
tadi:
Bismillahirrahmanirrahim,
Inilah waad (Janji Luhur) dalam kalangan bangsa Melayu, yang termaktub pada hari ini, berpaksikan persetujuan yang berikut:
– MEYAKINI akidah Islam yang bersendikan al-Quran, hadis, ijmak dan qias
telah berakar umbi dalam peradaban Melayu selama lebih satu alaf dan
menjadi pegangan luhur umat Melayu yang telah berperadaban dalam rangka
lebih dua alaf di rantau alam Melayu dengan binaan empayar, negara dan
pemerintahan yang berkesinambungan hingga kini.
– MEMAHAMI peradaban Islam berlandaskan tauhid dan syariah, diperkasakan
oleh maqasid syariah dan Piagam Madinah yang telah turun-temurun
terserap ke dalam keyakinan serta amalan hidup umat Islam Malaysia dan
juga dalam gubalan perlembagaan negaranya Persekutuan Malaysia.
– MENDEPANI cabaran era globalisasi, terutama geopolitik dan ekonomi,
pendekatan misi Melayu harus berpaksikan ciri-ciri Melayu global, yang
berfikiran futuristik dan bersikap kompetitif dengan kebijaksanaan yang
tinggi, berilmu, menguasai teknologi dan berjati diri kental. Bangsa
Melayu global juga perlu menghormati kelainan kaum, bangsa dan manusia
sejagat.
– MENEGASKAN peradaban bangsa Melayu yang berteraskan inti sari akhlak
serta nilai mulia dengan budi pekerti yang bersopan santun, budi bahasa
yang halus dan budi bicara yang berhemah tinggi, dengan susunan adat
yang sempurna, dan sistem kebudayaan yang lengkap maka wajib sebati
dalam jiwa bangsa Melayu demi kemajuan, kemuliaan, maruah dan keagungan
negara dan menjadi prinsip pembinaan peradaban bangsa Malaysia dan
sumbangan kepada peradaban dunia sejagat.
– MAKA DENGAN INI diwaadkan bahawa peradaban Islam dan peradaban bangsa
Melayu ialah sebatian yang sempurna untuk menjadi landasan bagi segala
bentuk pemerintahan negara, pembangunan bangsa dan pengurusan seluruh
warganegara serta kelangsungan peradaban bangsa dalam menghadapi cabaran
dunia sejagat.
– MAKA WAJIBLAH waad ini difahami dan hidup subur dalam jiwa dan
sanubari bangsa Melayu turun temurun sebagai teras keyakinan untuk
menggubal, membina dan melaksanakan sebarang agenda demi kelestarian,
kemampanan dan kemalaran bangsa, negara dan peradaban yang tinggi pada
sepanjang zaman bercirikan kemajuan ilmu, kemakmuran kehidupan,
kedalaman pemikiran dan keluasan kebijaksanaan.
– MAKA MENJADI MISI waad ini untuk membina peradaban bangsa serta negara
Malaysia turun-temurun berteraskan keluhuran peradaban Melayu-Islam.
Inilah kaedah yang wajar dan benar untuk menjamin kelangsungan warisan
peradaban (civilization legacy) bangsa Melayu masa hadapan selaras
keagungannya pada masa lampau.
– MAKA WAJIBLAH waad ini menjadi peringatan kepada semua anggota bangsa
Melayu untuk terus memimpin negara Malaysia ke arah kemajuan, kemakmuran
dan kesejahteraan yang adil dan saksama, di mana-mana jua mereka
berada, dengan keyakinan akan taufik, hidayah dan berkat Allah SWT.
P/S: pada aku, semua ni bohong belaka.
No comments:
Post a Comment