Tan Sri Musa Hassan
menegaskan bukan Prosedur Operasi Standard (SOP) polis untuk menahan
peguam Eric Paulsen dengan menggunakan kekuatan 20 anggota.
Bekas ketua polis negara (KPN) itu berkata, Paulsen hanyalah seorang peguam maka memadai jika beliau dipanggil hadir ke balai polis.
“Saya tak tahu pasal apa 20 anggota nak tangkap dia seorang? SOP bukan
begitu melainkan dia cuba melakukan kekerasan. Itu lain cerita," kata
Musa dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider hari ini.
“Seorang atau dua anggota sudah cukup. Panggil dia serah diri di balai polis berdekatan. Dia peguam, serah diri saja,” katanya.
Susulan penahanannya malam tadi, kumpulan peguam Lawyers For Liberty (LFL) melalui akaun Twitter mereka berkata, lebih 20 anggota polis datang untuk menahan Paulsen yang kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran yang juga merupakan anggota LFL
menerusi laman Twitternya berkata, polis membawa Paulsen ke firma
guamannya, Daim & Gamany, dan merampas komputer ribanya.
Mengulas mengenai penahanan itu, Surendran berkata tindakan polis itu seperti tindakan terhadap seorang "gangster besar".
Peguam Paulsen, R Sivarasa hari ini berkata, polis menahan reman peguam
hak asasi manusia itu untuk dua hari selepas ditangkap kerana mengkritik
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sivarasa berkata, Paulsen ditahan reman dua hari bagi membolehkan pihak
polis mengambil cap jari, kenyataan dan menggeledah rumahnya.
Mengulas mengenai tangkapan Paulsen, Musa berkata polis mungkin mempunyai maklumat tertentu mengapa 20 anggota diperlukan bagi menangkap peguam itu.
“Polis punya maklumat tertentu. Berkemungkinan mereka bertindak
sedemikian atas maklumat yang mereka ada. Saya bukan dalam pasukan
lagi.
“SOP tengok keadaan. Kalau tiada ancaman serius, satu atau dua orang pun boleh,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Sivarasa yang juga ahli Parlimen Subang hari ini menyifatkan penahanan
Paulsen sebagai salah guna kuasa polis kerana tiada asas untuk menahan
peguam itu di lokap.
“Jika mereka rasa perkataannya satu kesalahan, peguam negara boleh
menuduhnya. penahanan ini tidak munasabah, bertentangan dengan
undang-undang dan menindas Paulsen,” katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi
amaran kepada pihak tertentu agar tidak mempolitikkan atau memanipulasi
isu tangkapan Paulsen sehingga boleh menjejaskan keselamatan awam.
Katanya, tangkapan yang dibuat ke atas Eric Paulsen adalah berlandaskan undang-undang demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama.
"Jangan lakukan sesuatu dengan niat jahat dan bersekongkol untuk
membangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan atas nama kebebasan yang
boleh merosak dan menghancurkan fabrik masyarakat majmuk," katanya dalam
kenyataan hari ini.
Paulsen melalui akaun Twitternya sebelum ini mengkritik Jakim kerana menyebarkan kebencian melalui khutbah Jumaat.
“Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu
menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia," tulis
Paulsen.
No comments:
Post a Comment