اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Sunday, February 15, 2015

Anwar di Penjara, ke Mana PR dan BN?


Posted on Saturday, February 14 @ 22:58:49 MYT by paktam
ArtikelOleh A Kadir Jasin

BELUM pun sempat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim memanaskan ranjangnya di Penjara Sungai Buloh, isu siapa akan mengetuai Pakatan Rakyat sudah menjadi tajuk berita.

Dalam sidang akhbar selepas keputusan Mahkamah Persetujuan 10 Februari, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), (Datin Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata belum ada kepastian yang Mohamed Azmin Mohd Ali akan diangkat menjadi Ketua Pembangkang menggantikan Anwar kerana keputusan belum dibuat.
Katanya, mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan dalam masa terdekat bagi memutuskan pemimpin yang layak memegang jawatan tersebut.
"Mana dengar berita itu? Kita tak putuskan apa-apa lagi," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR.
Tidak dinafikan yang isu pengganti Anwar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen sangat penting kalau PR berhasrat menggunakan pemenjaraan Anwar sebagai pemangkin baru kawat cepat mereka ke Putrajaya.
Pertama, PR memerlukan ketua yang berwibawa bagi meneruskan kelangsungan (survival) dalam suasana di mana parti-parti anggota masih berbalah mengenai isu-isu ideologi dan dasar.
Kedua, PR memerlukan ketua yang boleh meyakinkan pengundi dan rakyat jelata mengenai kelayakannya memimpin negara.
Perdana Menteri Bayangan
Di negara-negara demokrasi matang yang berasaskan model Westminster, jawatan Ketua Pembangkang sangat penting kerana penyandang akan dilihat sebagai Perdana Menteri bayangan (shadow Prime Minister) atau Perdana Menteri menanti.

Sejak Anwar keluar penjara pada tahun 2004 dan kembali menjadi Ahli Dewan Rakyat pada tahun 2008, beliau adalah pilihan natural sebagai Ketua Pembangkang Parlimen. Beliau dilantik Ketua Pembangkang pada Ogos 2008.

Sebelum itu jawatan Ketua Pembangkang disandang oleh (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang (PAS) 2002–2004,  Lim Kit Siang (DAP) 2004–2008 dan (Datuk Seri) Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR) Mar–Jul 2008.

Jadi pengganti Anwar tidak semestinya dari PKR. Dr Wan Azizah tidak layak kerana beliau bukan Ahli Parlimen dan Mohd Azmin Ali mungkin “tidak sesuai” kerana masih “junior” dan mempunyai beban berat sebagai  Menteri Besar Selangor walaupun beliau juga Ahli Parlimen (Gombak).

Yang lebih layak adalah Lim Kit Siang kerana partinya mempunyai paling ramai anggota dalam Parlimen di kalangan komponen PR, iaitu 38. Tetapi kalau Abdul Hadi tidak dipertimbangkan, ahli PAS pula akan berasa disisihkan.

Sekiranya PR mahu menumpang pedati kepopularan Anwar dan menunjukkan setia kawan kepada beliau, ia akan memberi hak “first right of refusal” menolak pelantikan sebagai Ketua Pembangkang kepada PKR.

Kalau Mohamed Azmin dilantik Ketua Pembangkang ia akan memudakan lagi kepemimpinan PR dan ini akan memberi rangsangan tambahan kepada generasi muda menyokong PR.

Keputusan perlu dibuat segera kerana mesyuarat pertama Dewan Rakyat tahun ini akan bermula 9 Mac ini.

Sepanjang mengenai Anwar, penjara sudah menjadi darah dagingnya. Bagi beliau, tidak ada keadaan yang tidak menjanjikan kemungkinan. Beliau berpegang kukuh kepada frasa “politics is the art of the possible.”

BN Tanpa Asakan Anwar

Barisan Nasional, khususnya Umno, akan terus merasa tempias pemenjaraan Anwar. Tetapi ada juga yang berpendapat ketiadaan Anwar di pentas terbuka akan memberi ruang kepada BN untuk menarik nafas panjang.

Manakala yang lain pula berasa ia akan mencetuskan cabaran baru kepada BN dalam bentuk undi simpati dan undi protes generasi muda pada pilihan raya umum akan datang.

Buat masa terdekat, apa pihak yang berpendapat ketiadaan Anwar mungkin menyebabkan penentang dan pengkritik Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak menjadi lebih vokal menuntut pengunduran beliau.

Apabila ditanya bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad pada 12 Februari berkata, kalau hari ini beliau Perdana Menteri, beliau akan mengundurkan diri kerana tidak popular lagi dengan rakyat jelata.

Umno bukan tidak sedar keadaannya sekarang. Saya amat yakin Umno tahu penyakit yang dihidapinya. Tahu bentuk dan puncanya (diagnosis). Tahu rawatan yang diperlukan dan tahu prognosisnya. Pemeriksaan pakar sudah banyak kali dilakukan cuma tidak ada tindakan susulan yang berkesan.

Maladinya ialah Umno semakin tua. Tindakannya adalah Umno memerlukan rawatan anti-penuaan yang radikal. Tanpa rawatan Umno akan mati sakit tua. Tetapi kalau menjalani rawatan “stem cell” yang radikal, proses penuaan boleh disekat dan sel-sel baru akan tumbuh bagi memudakannya semula.

Apabila ahli dan penyokong Umno berkata parti mereka dalam keadaan yang membimbangkan, ramai daripada mereka sekadar mengagak dan mengandaikan.

Tetapi di kalangan kepemimpinan tertinggi dan ibu pejabat Umno mereka tahu keadaan sebenar cuma mereka tidak tahu atau tidak berani memilih rawatan yang diperlukan.

Banyak kajian dan ujian kering (dry run) sudah dilakukan. Antara hasilnya ialah Umno berkemungkinan tidak dapat mempertahankan 88 kerusi yang dimenanginya dalam PRU 2013 apabila lebih ramai pemilih muda mendaftar untuk PRU akan datang.

Wujud kebimbangan yang bilangan kerusi Umno akan jatuh kepada 70 malah 60 sahaja kalau keadaan sekarang berterusan.

Sindrom PPP Dalam BN

BN ada 13 parti anggota tetapi lebih separuh dalam kategori PPP yang bukan saja tidak menampakkan kemajuan malah sekadar membanyakkan bilangan sahaja. PPP merujuk kepada People’s Progressive Party.

Pada PRU 2013, Gerakan dan MCA masuk kategori itu – ditolak oleh orang Cina sendiri. Tsunami Cina, kata Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak. MIC pula sedang dalam krisis. Hatta kalau MIC kuat sekali pun ia hanya mampu menyumbang empat atau lima peratus undi sahaja kepada BN. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pun dalam keadaan yang sama.

Jadi, selain Umno dan beberapa buah parti etnik Sarawak, BN sebenarnya dalam keadaan terancam. Undi blok Cina yang dimonopoli oleh DAP/PR mustahil kembali kepada MCA atau Gerakan.

Orang Cina makin selesa dengan situasi sekarang di mana mereka terus menguasai ekonomi dan mendapat manfaat daripada sesetengah dasar serta transformasi ekonomi yang Mohd Najib pelopori. Manakala dalam arena politik pula mereka boleh bergantung kepada DAP/PR untuk mempertahankan hak mereka.

Kesimpulannya, pengukuhan BN harus bermula dengan Umno. BN tidak dapat diperkuatkan untuk menghadapi asakan PR dan ditransformasikan agar menjadi lebih kontemporari untuk menarik sokongan generasi muda kalau Umno tidak membebaskan dirinya daripada hierarki yang mengongkong, feudalisme dan dinasti.

Umno perlu melakukan pembedahan besar bagi memotong dan mengubati anggotanya yang lumpuh, kelemayuh (gangrenous) dan berkanser.

Atau Umno boleh terus percaya kepada jampi mantera para bomoh, tukang tilik, ahli sihir dan tukang karut politik yang akan menceritakan apa yang para pembesar Umno mahu dengar dan bukan apa yang mereka perlu tahu.

Wallahuaklam

Sumber : Detikdaily

No comments:

Post a Comment