اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Sunday, February 15, 2015

Mampukah Pakatan Rakyat kekal survival


Oleh MOHD ARIF JUHANI 

Perlu terus terima konsep ‘setuju untuk tidak setuju’

PERANG mulut antara pimpinan dalam Pakatan Rakyat sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu menyebabkan rakyat sedikit ‘kurang selesa’ dengan situasi tersebut memandangkan gabungan itu sebelum ini dilihat sebagai pengganti terbaik untuk menerajui kerajaan selepas Umno-BN menjadi ‘penjajah’ kepada rakyat.
Perang terbuka yang disiarkan media-media arus perdana dan disemarakkan lagi dengan perbalahan berikutan pendekatan tertentu membuatkan masyarakat hilang punca, di pihak mana harus mereka letakkan keyakinan atau harapan untuk membawa isu-isu rakyat.


Namun, di sebalik ribut yang melanda Pakatan Rakyat dan PAS sehingga menjejaskan kepercayaan ahli parti dan penyokong, Mohamad Sabu tetap yakin gabungan parti politik akan kembali utuh. Timbalan Presiden PAS yang sentiasa optimis dengan pergolakan dalaman parti itu menjelaskan, adalah lebih baik konflik itu terdedah kepada umum supaya langkah penyelesaian boleh diambil segera.

Bagi Mohamad Sabu, setiap organisasi termasuk gerakan Islam pasti bertembung dengan kemelut yang bertujuan mematangkan cara fikir dan tindak pemimpin untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dari luar.
“Saya yakin selepas 8 Februari lalu, Pakatan Rakyat kekal utuh   selagi kita berpegang kepada persepakatan yang dibentuk bersama dalam menghadapi kebejatan Umno-BN,” ujarnya
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Pakatan Rakyat mula menghadapi kemerosotan pengaruh dalam kalangan rakyat ekoran perselisihan dalaman berhubung beberapa isu khususnya Langkah Kajang yang bertujuan menukar Menteri Besar Selangor yang disandang oleh Adun Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

PAS yang tidak bersetuju dengan langkah politik itu dengan pantas menjadi perhatian media kerana kedudukannya yang cukup signifikan dalam menentukan masa depan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
Walaupun isu tersebut sedikit reda apabila Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KeADILan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, bagaimanapun, kesan buruknya lebih banyak berlegar dalam PAS.
PAS dalam keadaan itu secara kaburnya berpecah kepada dua antara kumpulan penyokong keputusan Presiden PAS dan Majlis Syura Ulama (MSU); dan kelompok yang dilihat bertentangan dengan dua entiti penting parti itu

Simbolik bantahan ke atas Timbalan?

Muktamar Tahunan Pemuda PAS di Kota Tinggi pada tahun lalu pula menyaksikan simbolik bantahan paling ketara ditujukan terhadap Mohamad Sabu sebelum berlanjutan dalam Muktamar Tahunan PAS di Batu Pahat.
Laman sosial seperti Facebook kemudiannya menjadinya menjadi medan paling berkesan untuk sesetengah pihak dalam PAS mengukuhkan propaganda dengan membunuh karektor beberapa pimpinan PAS yang berlatar belakang profesional.

Akhirnya, 8 Februari lalu, ‘serangan’ itu difizikalkan melalui demonstrasi kecil dihadapan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada pagi sebelum Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat berlangsung.
Perkembangan politik semasa menunjukkan PAS bukan sahaja berkonflik secara dalaman, malah turut menghadapi krisis dengan rakan gabungannya iaitu DAP khususnya yang apabila kerajaan PAS Kelantan menyatakan komitmennya berhubung soal pelaksanaan kanun jenayah syariah.

PAS pula membalas dengan membantah cadangan DAP yang mahu mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan anggapan kemungkinan tragedi 13 Mei boleh berulang.
Tidak sukar juga untuk memahami bahawa penentangan keras DAP terhadap kanun jenayah syariah itu adalah demi mengekal dan menambah pengaruh sokongan undi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak pada tahun hadapan.

Meninjau pandangan Ketua Penganalisis Politik dan Sosial, Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute, beliau menganggap pembentukan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada 1963 turut mendedahkan keengganan dua negeri itu dengan pelaksanaan undang-undang berteraskan agama.
Keadaan ini pula jika dibawa ke semenanjung, ternyata ada bezanya pula kerana masyarakat belum Islam sekurang-kurangnya mempunyai toleransi dan tidak menganggap undang-undang seperti Hudud itu sebagai sesuatu yang menakutkan.

Hudud lebih baik

Pandangan ini juga yang diutarakan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari apabi la memberitahu masyarakat belum Islam di bahagian selatan tanah air lebih mementingkan isu-isu berkaitan kehidupan harian mereka seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Mungkin sedikit mengejutkan apabila ada peniaga bukan Melayu menganggap hudud lebih baik berbanding sesetengah pemimpin Umno-BN yang menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan politik.

“Saya lebih sanggup ada hudud daripada (Dato’ Seri) Ismail Sabri,” kata Presiden Persatuan Pemborong Barangan Logam Malaysia Low Cheng Ho kepada sebuah portal atas talian.
Low berkata demikian selepas kecewa dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu dalam Facebooknya ketika mengulas isu harga barang yang belum turun.

Bagaimanapun, semua masalah yang melanda itu cuba diredakan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan akan membincangkan dua isu itu dalam sebuah mesyuarat khas dalam satu tarikh yang belum diputuskan.
Ketika artikel ini ditulis, sesetengah pihak juga bimbang dengan masa depan Pakatan Rakyat kerana menganggap survival ini bergantung rapat kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari berhubung kes Fitnah II Anwar Ibrahim.

Jika Anwar disabitkan bersalah, segalanya seperti sudah berakhir dan harapan rakyat melihat negara diterajui oleh pentadbiran yang lebih berhemah dan telus akan berkubur.
Namun, dalam politik apatah lagi dengan bantuan teknologi komunikasi hari ini, survival sesebuah parti politik tidak lagi bersandarkan kepada sentimen sempit kepartian, sebaliknya bergantung kepada rekod perjuangan pimpinan dalam membawa isu-isu berkaitan kehidupan rakyat secara bersungguh-sungguh.

Maka, Pakatan Rakyat perlu kembali kepada dasar ini selain konsep ‘setuju untuk tidak bersetuju’.

Sumber :Detikdaily

No comments:

Post a Comment