Sunday, February 15, 2015
Sindiran Mahathir berita gembira kepada rakyat
PETALING JAYA - Sindiran Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri
Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa “akan meletakkan jawatan jika masih
sebagai Perdana Menteri” merupakan satu berita gembira kepada rakyat
yang mengimpikan perubahan.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin
berkata, pendirian bekas Perdana Menteri itu memberikan harapan sama
ada Najib akan diturunkan dari jawatannya melalui UMNO.
Katanya, Pakatan Rakyat (PR) harus mengambil peluang keemasan itu dengan
segera melupakan persengketaan sesama sendiri, merapatkan barisan dan
mengukuhkan lagi kesepakatan.
“Penolakan berterusan Mahathir ini seharusnya disambut dengan sewajarnya
dan jangan sesekali disia-siakan,” katanya menerusi entri terbaru blog
shahbudindotcom.blogspot.com.
Tambahnya, teguran dan penarikan balik sokongan oleh Dr Mahathir kepada
Najib sebagai Perdana Menteri secara tidak langsung turut memberikan
kelebihan kepada gabungan ketiga-tiga parti itu kerana pengaruh bekas
Perdana Menteri masih lagi kukuh jika bersuara.
“Lihat saja pada pilihan raya 2004 di mana Barisan Nasional (BN) ketika itu menang paling bergaya dengan 198 kerusi Parlimen.
“Tetapi apabila Dr Mahathir kemudiannya mula mengkritik kepimpinan Tun
Abdullah Ahmad Badawi, kemenangan BN pada pilihan raya 2008 merosot
kepada 140 kerusi dan pertama kali hilang majoriti dua pertiga,”
jelasnya.
Shahbudin berkata, BN kini hanya berbekalkan 133 kerusi pada pilihan
raya 2013 dan hanya meraih undi popular sebanyak 47 peratus serta
ditambah ketiadaan sokongan Mahathir pasti meletakkan ia dalam keadaan
tertekan. - FMT
No comments:
Post a Comment