Posted on Saturday, February 14 @ 22:43:05 MYT by paktam
Oleh Shahbudin Husin Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk membawa kegembiraan kepada mereka yang mahukan perubahan. Hanya setelah dua hari Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menghuni penjara Sungai Buloh atas kesalahan liwat yang dihadapinya, beliau hari ini menyatakan pendirian yang jelas dapat difahami sebagai terus menolak kepimpinan Najib Razak.
Mahathir berkata, jika menjadi Perdana Menteri ketika ini, beliau pasti akan meletakkan jawatan kerana gagal memberi pentadbiran yang baik, selain semakin meningkatnya kritikan daripada rakyat. Kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, seseorang Perdana Menteri sepatutnya memudahkan sesuatu perkara dan meletakkan jawatan sekiranya gagal mentadbir dengan baik.
Walaupun tidak menyebut secara khusus nama Najib, adalah jelas kenyataan terbaru Mahathir ini ditujukan dengan tepat kepada Najib yang sudah ditarik balik sokongan dan dikritiknya sejak beberapa bulan lepas.
Ia secara langsung memberi gambaran bahawa Mahathir kekal dengan pendirian tidak lagi menyokong serta tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib. Malah mengandaikan kesediaan meletakkan jawatah jika masih menjadi Perdana Menteri adalah sindiran yang boleh difahami dengan mudah oleh sesiapa saja bahawa Najib sepatutnya berundur segera ketika ini.
Selain itu, Mahathir juga terus mengkritik kewujudan 1MDB yang banyak bermasalah dengan pinjaman dan hutang, sambil mengatakan ia adalah "syarikat miskin" yang tidak sepatutnya wujud.
Katanya lagi, 1MDB umpama seseorang yang meminjam wang daripada ceti dan perbuatan itu tidak boleh dianggap sebagai telah bertukar menjadi kaya.
Mahathir juga meneruskan kritikannya dengan mengatakan kerajaan yang ada sekarang semakin terpinggir daripada rakyat kerana tidak sensitif terhadap apa yang dikatakan oleh orang awam.
Apabila Anwar Ibrahim dipenjara selama lima tahun sejak 10 Februari lalu, kemampuan rakyat melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang mulai disangsikan.
Walaupun ada keyakinan bahawa pemenjaraan itu akan meningkatkan rasa simpati serta menambahkan kebencian rakyat terhadap kerajaan, tetapi kemungkinan berlakunya perpecahan dalam PR berikutan ketiadaan Anwar tetap amat membimbangkan.
Dengan ketiadaan nakhoda yang berwibawa seperti Anwar, ditambah perpecahan dan bercakaran sesama sendiri, ia tentu saja memberi kelebihan kepada BN untuk terus mengekalkan kuasanya.
Selama ini juga, kritikan, teguran dan penarikan balik sokongan oleh Mahathir kepada Najib, secara tidak langsung turut memberi kelebihan kepada PR kerana pengaruh Mahathir memang terbukti masih kukuh jika beliau bersuara.
Lihat saja pada pilihanraya 2004 di mana BN ketika itu menang paling bergaya dengan 198 kerusi Parlimen, tetapi apabila Mahathir kemudiannya mula mengkritik kepimpinan Pak Lah, kemenangaj BN pada pilihanraya 2008 merosot kepada 140 kerusi dan pertama kali hilang majoriti dua pertiga.
Dengan BN hanya berbekalkan 133 kerusi pada pilihanraya 2013 dan cengkaman undi popular sebanyak 47 peratus saja, ketiadaan sokongan Mahathir bersama Najib tentu saja boleh memberi makna yang besar kepada PR.
Tetapi pemenjaraan Anwar menimbulkan kebimbangan bahawa Mahathir mungkin kembali menyokong Najib. Ada yang berkata kritikan, teguran dan penarikan balik sokongan oleh Mahathir itu hanyalah untuk memberi tekanan kepada Najib agar menghantar semula Anwar ke penjara sebagaimana yang dilakukannya dahulu.
Apabila Ketua Pembangkang itu sudah dipenjara, dikatakan tiada apa lagi yang dibimbangi oleh Mahathir sebagai seorang yang pernah memenjarakan Anwar sebelum ini dan pilihan yang terbaik baginya ialah kembali menyokong Najib serta memastikan BN menang dengan lebih baik pada pilihanraya akan datang.
Namun dengan Mahathir terus menolak dan mengasak Najib, malah menyindirnya dengan ungkapan "akan meletakkan jawatan jika masih sebagai Perdana Menteri", ini adalah berita gembira kepada rakyat yang mengimpikan perubahan.
Pendirian Mahathir ini memberi harapan sama ada Najib akan diturunkan daripada jawatannya melalui UMNO atau PR harus mengambilnya sebagai peluang keemasan dengan segera melupakan persengketaan sesama sendiri, merapatkan barisan dan mengukuhkan lagi kesepakatan.
Oleh yang demikian, penolakan berterusan Mahathir ini seharusnya disambut dengan sewajarnya dan jangan sesekali disia-siakan.
Sumber : Detikdaily
No comments:
Post a Comment