Kota Bharu , 16 januari 2014 : Bagi mengatasi lambakan sumbangan pakaian oleh orang ramai untuk mangsa banjir, i-Bantu Kota Bharu mengambil inisiatif membuka Bazar Jumble di sini supaya mangsa banjir boleh memilih sendiri pakaian yang diperlukan oleh mereka.
Bazaar Jumble i-Bantu Kota Bharu telah dilancarkan di Kampung
Paloh, di hadapan Nordin Batik di sini di mana mangsa banjir diberikan kupon
percuma dan mereka boleh datang ke khemah yang disediakan untuk mengambil
pakaian secara percuma sebanyak keperluan mereka.
Turut hadir pada hari pelancaran Ketua Wanita IKRAM, Datin
Paduka Hajjah Che Asmah Ibrahim yang sedang dalam misi lawatannya ke Kelantan,
YDP IKRAM Kelantan, Dr Shaarani Mohd Naim dan Ketua Wanita IKRAM Kelantan, Dr
Norhani Abd Rani.
Menurut Ketua Wanita IKRAM Kota Bharu, Dr Dasmawati Mohamed,
kadang-kadang sumbangan pakaian yang dihantar sukarelawan kepada mangsa banjir
tidak mengikut saiz menyebabkan banyak pakaian tidak dapat dimanfaatkan.
“Alhamdulillah, dengan adanya pusat ini, pakaian yang
disumbangkan orang ramai, IKRAM dapat memanfaatkan seboleh mungkin sampai
kepada mangsa,” jelasnya.
Dr Norhani pula menyarankan supaya pusat agihan pakaian sebegini
perlu ditiru di pusat-pusat lain untuk mememudahkan agihan pakaian dan
mengelakkan lambakan serta pembaziran bantuan yang disampaikan untuk mangsa
banjir. Beliau optimis inisiatif ini akan diusahakan di tempat-tempat lain di
Kelantan.
Datin Paduka Che Asmah mengucapkan tahniah kepada i-Bantu Kota
Bharu kerana mengambil inisiatif membuka Bazar Jumble.
“Sebab kita melihat bahawa inisiatif ini memudahkan penyampaian
pakaian-pakaian yang buat masa ini dikatakan menjadi satu masalah untuk
diagih-agihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan,” katanya.
Dengan melakukan agihan sebegini tambahnya, tenaga-sukarelawan
yang ada dapat digunakan untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir sendiri membuat
pemilihan pakaian di pusat tersebut.
“Jadi, mereka dapat apa yang mereka perlu, dan kita dapat
mengedar dalam keadaan terbaik.
Saya rasa ini satu inisiatif yang berdaya kreatif dalam
menguruskan bantuan-bantuan untuk mangsa banjir,” jelasnya.
Oleh :Long Wan Trg
Wartawan Tamu SRFM
No comments:
Post a Comment