Marang , 16 Januari 2015 :
Anggota Rela diingatkan agar tidak menyalahgunakan senjata api untuk
kepentingan peribadi termasuk memburu di hutan bagi mengelak berlakunya
kejadian tidak diingini.
Pengarah Rela negeri, Nasharuddin Mat Nasir berkata, senjata api perlu dijaga dengan baik dan hanya digunakan bagi tujuan tertentu berasaskan peruntukan ditetapkan.
Justeru katanya, pihaknya memandang serius dan akan bertindak tegas sekiranya ada anggota Rela menyalahgunakan senjata api diberikan kerajaan.
“Senapang dan peralatan lain perlu dijaga dengan betul serta digunakan untuk menjaga keselamatan kampung mahupun memusnahkan musuh tanaman. Bukan disalah guna untuk memburu binatang dan melakukan kegiatan yang menyalahi peraturan pertubuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berakhirnya majlis perjumpaan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Risikin Satiman dengan seramai 137 pemegang senjata api Rela Marang di Bukit Payong, di sini.
Hadir sama, Penolong Pengarah Rela negeri, Abas Saud dan Penolong Pegawai Rela Daerah Marang, Ikhuan Adanan.
Sementara itu, kata Nasharuddin, program seumpama itu diadakan untuk meningkatkan pengetahuan anggota Rela mengenai keselamatan senjata api, selain memperkenalkan ketua polis daerah kepada semua pemegang senjata api terlibat.
“Program yang merupakan siri tahunan Rela ini dimulakan di Marang dan diadakan di setiap daerah,” katanya.
Oleh : Long Wan Trg
Wartawan Tamu SRFM
No comments:
Post a Comment