اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Tuesday, September 9, 2014

Di forum PasMa.. Hadi bukan pemimpin maksum kata Mujahid..

 



Forum pertama anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) malam tadi yang mensasarkan untuk menghalang sebarang kerjasama di antara PAS dan Umno menyaksikan hadirin meluahkan kemarahan terhadap parti Islam itu dan presidennya berhubung peranan mereka dalam krisis menteri besar Selangor.

Persoalan sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dikenakan tindakan kerana menentang keputusan parti dalam isu menteri besar Selangor termasuk masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) diajukan kepada ahli panel Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat PKR kerana enggan menurut keputusan parti, apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Hadi kerana menentang keputusan parti dalam isu MB Selangor?” soal seorang hadirin disambut tepukan gemuruh di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdapat hadirin yang merungut bagaimana rosaknya imej PAS dalam menguruskan krisis ini sehingga seorang daripada hadirin mempersoalkan Mujahid mengapa beliau dan pemimpin seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai berhubung masalah dilakukan pemimpin lain.

Mujahid yang berhati-hati memberikan penjelasan kepada kira-kira 500 hadirin berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dan Hadi tidak dianggap maksum oleh parti Islam itu.

"PAS nak bersama dengan Umno, anda boleh mengandaikan apa yang anda ingin andaikan. Saya tidak boleh menyekat anda mengandai demikian.

"Saya mahu beritahu pada malam ini di depan kamera dan wartawan. Jangan misquote saya. PAS tidak ada apa-apa hasrat atau pun niat untuk bersama dengan Umno,” katanya disambut dengan tepukan hadirin pelbagai kaum di forum bertajuk PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju itu.

Mujahid berkata, tiada perjuangan dalam parti atau gerakan Islam yang mensucikan pemimpin tertentu dan mereka juga boleh ditegur kerana tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

AJK PAS Pusat itu berkata, ketaatan kepada pemimpin bukanlah bersifat mutlak kerana kepatuhan sepenuhnya hanya diberikan kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.

“Kami orang PAS dididik dengan satu hadis Nabi Muhammad, ‘ketaatan manusia sesama manusia adalah ketaatan yang tidak mutlak manakala ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah mutlak’,” katanya.

Bagaimanapun, Phahrolrazi berkata tindakan PAS akhir-akhir ini tidak menunjukkan mereka mahu terus bersama PR.

“Kadang-kala kita melihat penegasan yang dibuat PAS kita akan sentiasa bersama Pakatan tetapi dalam tindakan kita rasa tidak berapa jelas.

“Memang kita tidak boleh nafikan dalam konteks persaingan mesti ada agenda Umno untuk melemahkan PR. Kita tidak boleh nafi. Ini persaingan dalam politik. Mesti ada jarum yang masuk ke dalam PAS dan mungkin sudah ada orang dalam PAS yang sudah mula terpengaruh.

“Kita sudah dilihat ada pimpinan PAS macam Ustaz Nasharuddin sudah sangat intim mengikut perdana menteri ke sana sini tetapi saya rasa dia belum dipecat.


Phahrolrazi berkata, jika PAS mahu keluar daripada gabungan itu dan bersendirian, ia akan menguntungkan Umno kerana rakyat sudah tiada lagi gabungan alternatif untuk disokong.

“Kita tidak mahu PR runtuh akhirnya kita kembali kepada zaman 1950-an, 1960-an, 1970-an di mana hanya satu parti saja menguasai dan rakyat tidak ada pilihan. Adakah kita bersedia untuk kembali ke zaman itu?

“Politik yang sihat adalah politik di mana rakyat berpeluang membuat pilihan dan mereka yang diberi kuasa hendaklah bersedia dan ingat rakyat akan membuat pilihan dan menukar kerajaan," katanya.

Rayuan presiden PasMa agar PAS kekal dalam PR disambut dengan sorakan hadirin yang setia menanti forum selama 3 jam itu.


PasMa, ditubuhkan ahli PAS yang mahu parti itu kekal dalam PR dan dilancarkan di Kota Baru pada 31 Ogos.

Bagaimanapun Mujahid enggan terheret sama dengan kekecewaan hadirin dengan peranan Hadi dalam krisis menteri besar Selangor dan dilihat masih membelanya.

Aziz bagaimanapun kurang bersetuju dengan kenyataan Mujahid yang dilihat terlalu mempertahankan Hadi.

Katanya, PAS tidak perlu membeza-bezakan ahlinya dalam mengambil tindakan kerana segalanya perlu diadili secara saksama.

“Saya kurang bersetuju dengan Mujahid. Kenapa tidak katakan dalam parti semua sama? Siapa saja boleh dikenakan tunjuk sebab.

“Kenapa mesti pertahankan presiden secara tidak langsung? Hendak buat apa? Semua orang tahu.

“Boleh terangkan dalam parti semuanya sama. Jangat ingat satu golongan manusia maksum, satu golongan tidak boleh tegur,” katanya.

Mujahid dalam menegakkan hujahnya berkata, apa yang dikatakannya adalah prosedur dalam parti dan terpulang bagaimana pihak tertentu menafsirkannya.

“Saya tidak kata begitu. Saya hanya katakan dalam disiplin ada prosesnya. Itu saja. Dia hendak tafsir saya mempertahankan, itu masalah dia,” katanya kepada Aziz lapor.

 The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment