KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyerahkan satu memorandum kepada Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak bagi meminta penjelasan berhubung dengan baki pinjaman RM32 juta membabitkan ahli perniagaan Deepak Jaikisnan.
Memorandum tersebut diterima Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komukasi, Saliman Zainal di lobi Ibu Pejabat Bank Rakyat di sini hari ini.
Jelas Mahfuz, tindakan memberikan keistimewaan kepada seorang individu ingkar untuk ditangguhkan dari diambil sebarang tindakan undang-undang dan diberikan tempoh sepuluh tahun bagi menyelesaikan baki hutang adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar amalan perbankan yang pruden dan telus.
"Saya tidak nampak bagaimana arahan supaya Bank Rakyat memberikan keistimewaan kepada peminjam ingkar seperti Deepak dapat melindungi kepentingan Bank Rakyat dan ahli-ahlinya.
"Saya dimaklumkan bahawa bukan hanya pinjaman berjangka berbaki RM32 juta itu sahaja yang diberikan keistimewaan kepada Deepak melalui syarikat miliknya Carpet Tile Sdn Bhd.
"Bahkan terdapat dua lagi pembiayaan yang diberikan iaitu pinjaman sebanyak RM798 juta diberikan kepada syarikat pemaju hartanah Radiant Splendour Sdb Bhd dan juga RM40 juta kepada Deepak sendiri.
"Berdasarkan siasatan baki keseluruhan kedua-dua pinjaman tersebut perlu dibayar berserta baki RM32 juta adalah sekitar RM215 juta," jelasnya pada sidang media di lobi Bank Rakyat.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta agar Bank Rakyat tampil membuat penjelasan segera bagi mengelakkan timbul pelbagai spekulasi serta mengembalikan keyakinan pelabur.
"Kita tuntut penjelasan adakah pembayaran balik baki pinjaman sebanyak RM32 juta itu turut meliputi jumlah denda lewat yang sepatutnya dikenakan ke atas peminjam berdasarkan perjanjian.
"Jika tidak, kita ingin tahu apakah alasan Bank Rakyat tidak mengenakannya, berapa kerugian yang bakal dialami atas sebab tidak mengenakan bayaran denda lewat dan adakah Lembaga Pengarah memberi kelulusan tersebut," soal beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar Bank Rakyat menjelaskan adakah sebarang tindakan akan diambil jika peminjam masih gagal menatuhi syarat pembayaran yang diperbaharui.
"Kita juga ingin tahu bentuk sekuriti atau cagaran yang dikenakan ke atas peminjam, apakah cara penyelesaian bagi baki ke semua pinjaman Deepak.
"Apakat tindakan selanjutnya yang diambil pihak bank untuk mendapatkan kembali baki pinjaman yang tertunggak bagi ketiga-tiga pinjaman ini," sambung beliau lagi.
Mahfuz berharap pihak bank akan memberi maklum balas seberapa segera mengenai persoalan yang ditimbulkan dan beliau akan meneliti penjelasan tersebut bagi memelihara kepentingan penyimpan-penyimpan di bank tersebut yang kebanyakan mereka dari golongan bumiputra.
- HARAKAHDAILY 14/7/2014
No comments:
Post a Comment