اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Thursday, January 8, 2015

PANAS! MENGAPA GOLONGAN FANATIK DAN PELAMPAU MULA TIDAK LENA TIDUR

Ramai rakyat Malaysia gembira golongan sederhana mendapat tempat

SUARA LANTANG: Wajah Melayu sebenar, wajah sederhana seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman, akan mendapat perhatian tahun ini.

Semuanya bermula 9 Disember lalu apabila 25 orang Melayu terkemuka telah menulis surat terbuka meminta supaya adanya dialog yang rasional mengenai kedudukan Islam dalam perlembagaan demokrasi ketika Malaysia bergelut dengan kumpulan-kumpulan pelampau Melayu Islam yang mahukan penguasaan ke atas kaum-kaum dan agama lain.

Sejak kenyataan 19 perenggan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 25 mereka iaitu Datuk Noor Farida Ariffin, bekas ketua pengarah Jabatan Penyelidikan Perjanjian dan Undang-undang Antarabangsa Kementerian Luar,; Tan Sri Datuk Abdul Rahim Din, bekas ketua setiausaha, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, bekas ketua setiausaha, Kementerian Luar Negeri; Tan Sri Dr Aris Othman, bekas ketua setiausaha, Kementerian Kewangan; Tan Sri Dr Ismail Merican, bekas ketua pengarah, Kementerian Kesihatan; Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, bekas ketua setiausaha, Kementerian Kewangan; Tan Sri Dr Mustaffa Babjee, bekas ketua pengarah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar; dan Hendon Mohamad, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, ramai orang Melayu telah mengisytiharkan pendirian sederhana mereka.

Dan begitu juga rakyat Malaysia lain yang berbilang kaum dan agama.

Hanya beberapa hari sebelum Hari Krismas, di Petaling Jaya, 86 buah persatuan kaum Cina menyatakan sokongan mereka terhadap kumpulan 25 ini, dan menandatangani petisyen yang menyeru supaya kesederhanaan Malaysia dikekalkan.

Antaranya adalah Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), di mana presidennya Tan Sri Pheng Yin Huah dipetik sebagai berkata: "Nenek moyang kami membina negara ini dan berjuang mencapai kemerdekaan melalui kesederhanaan. Malaysia telah mencapai kemajuan kerana nilai ini.

“Saya berharap supaya Perdana Menteri, parti-parti politik dan semua organisasi akan menyokong perjuangan ini. Inisiatif ini juga perlu disokong oleh masyarakat Cina dan semua rakyat Malaysia, malahan majoriti senyap sekalipun.

"Kerajaan perlu cuba yang terbaik untuk memenuhi keperluan asas semua kaum supaya rakyat akan berpuas hati dan mempunyai semangat kekitaan."

Di ruang siber, sebuah lagi kumpulan rakyat Malaysia menandatangani petisyen dalam talian yang dinamakan #KamiJuga25.

Pada pagi ia dimulakan, ia berjaya mendapat 50 tandatangan, menambah kepada sokongan yang semakin meningkat terhadap 25 pesara penjawat awam berpangkat tinggi, yang surat terbuka mereka bertarikh 9 Disember telah menjadi viral.

Petisyen siber ini, yang dimulakan oleh Azrul Mohd Khalid, dan ditandatangani oleh 24 rakyat Malaysia lain dari pelbagai agama dan kaum, menggesa Najib dan semua pemimpin negara untuk berdiri bersama-sama rakyat Malaysia untuk menyampaikan janji wawasan bersama yang menggalakkan "sikap inklusif dan meraikan perpaduan rakyatnya melalui kepelbagaian".

Kumpulan itu menyatakan bahawa ia menolak tanggapan bahawa hanya orang Islam boleh bercakap mengenai perkara-perkara yang memberi kesan kepada orang Islam, dan orang bukan Islam harus berdiam diri, berkata: "Kita tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi ketidakadilan, kezaliman dan penganiayaan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Kita mesti bersuara bagi satu sama lain."

Ramai pengguna-pengguna Internet lain menyusul, seperti L Khairuddin yang mana petisyen dalam taliannya yang dipanggil "I am #26" telah mengumpulkan lebih 3,800 tandatangan dalam tempoh empat hari.

Menjelang 18 Disember, 25 tokoh Melayu ini telah mendapat sokongan daripada 22 aktivis-aktivis Islam dan 93 kumpulan pertubuhan sivil.

Dua hari selepas tahun baru 2015 bermula, Noor Faridah telah mengisytiharkan nama-nama 10 lagi tokoh Melayu yang telah meminjamkan nama-nama mereka kepada kumpulan 25 yang asal itu.

10 orang ini ialah bekas timbalan ketua setiausaha Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Alwi Jantan; bekas naib canselor Universiti Malaya dan bekas penolong setiausaha agung PBB Tan Sri Rafiah Salim; ahli perniagaan terkemuka Datuk Seri Nazir Ariff; bekas duta dan bekas timbalan ketua setiausaha Asean Datuk Ahmad Mokhtar Selat; bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Petronas Dagangan Bhd Datuk Anwaruddin Osman; bekas timbalan setiausaha agung Kementerian Pertahanan dan bekas ketua pengarah pertama Perbadanan Kemajuan Pelancongan, Datuk Baharuddin Musa; Dekan Fakulti Perubatan dan Profesor Perubatan dan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman; bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi dan bekas Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya Prof Dr Ariff Abdul Kareem; bekas ahli parlimen Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail; dan juga bekas eksekutif kewangan korporat Commerce International Merchant Bankers Bhd Shazal Yusof Mohd Zain.

Ya, Malaysia telah menemui semula wajah Melayu dan Malaysia asal yang sebenarnya, wajah yang akan dikenali dengan lebih baik oleh dunia pada tahun 2015.

Ia adalah tidak sama seperti wajah jelik dan keji yang telah ditunjukkan oleh orang-orang seperti Perkasa dan Isma, atau Datuk Ibrahim Ali dan Ridhuan Tee Abdullah, profesor yang mengeluh mengenai kegagalan demokrasi dalam menangani jumlah babi di negara ini: "Saya tidak menghina babi kerana babi adalah makhluk Allah. Tetapi saya tidak boleh menerima yang jumlah babi mengatasi jumlah lembu, ayam, kambing dan itik di sebuah negara Islam. Negara kita terlalu kurang ternakan sehinggakan ia perlu diimport. Tetapi kita mempunyai lebihan babi yang sebegitu besar sehingga ia dieksport. Apa yang dimaksudkan dengan ini?”

Bandingkannya dengan keluhan 25 tokoh ini: “Kami sebagai Muslim yang moderat berasa amat bimbang dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dengan hak golongan transgender berpakaian mengikut identiti mereka.

"Beliau melihat hak komuniti transgender dan Sisters in Islam (SIS) untuk mendapatkan pembelaan undang-undang sebagai gelombang baru serangan ke atas Islam, dan sebagai usaha menyesatkan orang Islam dari kepercayaan mereka, dan meletakkan institusi-institusi agama dalam perbicaraan di mahkamah sekular.

“Kenyataan seumpama ini yang mengapi-apikan keadaan daripada seorang menteri (dan ini bukan kali pertama) menunjukkan kepada orang ramai bahawa komitmen perdana menteri memperjuangkan gagasan kesederhanaan (moderation) tidak perlu diambil berat memandangkan menteri Kabinet sendiri sering memperlekehkannya."

Bagi mereka, “isu-isu yang kami bangkitkan ini sememangnya sukar untuk ditangani memandangkan apa-apa berkaitan bangsa dan agama sering dipolitikkan di negara ini. Kami yakin bahawa perdana menteri memiliki sumber dan kuasa bagi mengetuai proses perundingan untuk membawa pakar dalam pelbagai bidang, termasuk undang-undang Islam dan undang-undang perlembagaan serta semua pihak yang terlibat”.

Perkasa, Isma, Ibrahim Ali dan Ridhuan telah menyuarakan kebencian dan hasutan selama bertahun-tahun.

Tidak diragukan yang mereka telah mendapat sokongan dan pengikut, dan ini adalah mengapa Malaysia terus berada dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Isu kalimah Allah terus dibahaskan, semakin banyak Bible disita, kaum Cina dijadikan kambing hitam dan Sabah dan Sarawak tidak dilayan seperti dalam dokumen-dokumen asal yang dipersetujui pada zaman pembentukan Malaysia.

Tetapi tahun 2015 kelihatan begitu cerah. 25 tokoh ini hanya muncul pada minggu kedua bulan Disember, tetapi keseluruhan negara ini telah bangun dari lena.

Keadaan telah berubah. Golongan fanatik dan pelampau mula tidak lena tidur – dan kehilangan sokongan.

Jika Najib dan kerajaannya tidak mendengar, mereka juga akan kehilangan sokongan.


JIMMY ADIT merupakan produk bidang kewartawanan berpengalaman. Setelah melibatkan diri sebagai politikus buat berapa ketika, beliau kini memerhatikan bidang politik dari pinggiran.


No comments:

Post a Comment