اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Wednesday, February 18, 2015

Badan kehakiman di Malaysia perlu terus dibicarakan



Oleh Amin Ahmad

Sekonyong-konyong, selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun, peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah nampaknya mempunyai tugasan lanjut, iaitu meyakinkan orang ramai terhadap keputusan kontroversi ini.
Bagi yang mengikuti perbicaraan kes ini, kita maklum bahawa sebaik sahaja keputusan dibuat, sebuah tulisan bertajuk ‘Anwar Ibrahim verdict’ oleh Tan Sri Shafee sendiri telah disiarkan oleh sejumlah media.


Beliau turut membenarkan diri diwawancara. Tidak cukup dengan itu, laporan berita semalam turut menyatakan kesanggupan beliau untuk bersumpah di Mekah.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga teguran telah diberikan kepada beliau. Yang pertama daripada Datuk Ambiga, mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia dan Christopher Leong, Presiden Majlis Peguam; Kedua daripada Tan Sri Abu Talib Othman, mantan Peguam Negara dan ketiga daripada Profesor Gurdial Singh Nijar, pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM).

Dalam jawapan balasnya, Tan Sri Shafee berkata setiap pertikaian dan persoalan berbangkit perlu dijelaskan. Beliau juga menggesa Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara, mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap sesiapa yang cuba mengaitkan isu ini dengan politik.

Mahkamah, politik dan persepsi umum

Sebenarnya, sistem kenegaraan di Malaysia hampir sama dengan amalan negara demokrasi lain, iaitu pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan yudikatif (baca: kehakiman).
Peruntukan mengenai kebebasan kehakiman tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia selaras dengan Prinsip-prinsip Asas Kebebasan Kehakiman Bangsa Bersatu, yang telah diterima-pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Milan pada tahun 1985 yang  disokong oleh resolusi-resolusi Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu bertarikh 29 November 1985 dan 13 Disember 1985. Semua prinsip ini telah digubal untuk membantu semua Negara ahli dalam tugasan mereka untuk melindungi dan menggalakkan kebebasan badan kehakiman.

Maka tidak hairanlah, Tun Ariffin Zakaria, Ketua Hakim Negara, dalam mengulas dakwaan hakim-hakim meninggalkan bilik mahkamah semasa Dato’ Seri Anwar masih menyampaikan kenyataan dari kandang tertuduh, menyatakan “perjalanan kehakiman di negara ini perlu diserahkan sepenuhnya kepada badan kehakiman tanpa gangguan.”

“Badan kehakiman mestilah dilihat sebagai institusi yang bertugas memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan dalam menegakkan prinsip pemisahan kuasa yang demokratik.”
"Badan kehakiman mestilah juga dilihat sebagai pemelihara Perlembagaan dan pelindung hak rakyat,"

Dalam laporan yang sama, beliau turut menyebut “bahawa mahkamah memandang serius sebarang tingkah laku yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.”

Kenyataan-kenyataan Ketua Hakim Negara di atas boleh ditafsirkan secara terbuka.
Ia bukan sahaja membayangkan wujudnya gangguan tertentu, tetapi juga kegagalan badan kehakiman memberi keadilan kepada semua, memelihara Perlembagaan dan melindungi hak rakyat.
Yang jelas, dalam menyatakan bahawa peguam mesti berperanan membantu hakim dalam proses keadilan, ia adalah pengakuan bahawa hakim memang tidak sunyi daripada berbuat kesilapan.
Ketua Hakim Negara, dalam ucapannya semasa majlis pembukaan Tahun Perundangan 2015, menegur peguam-peguam yang menggunakan media untuk melakukan kritikan tidak berasas terhadap badan kehakiman sebarang kecaman terhadap badan tersebut “akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi tersebut, malah boleh menjadi serangan terhadap pengurusan keadilan di negara ini”.

Mengulas aduan peguam mengenai sebahagian hakim yang tidak memahami Perlembagaan, beliau berkata “Tugas peguam ialah membantu kita membuat keputusan dan tanggungjawab utama mereka ialah terhadap proses pengadilan, bukannya terhadap anak guam sahaja.”
Mengambil kira kenyataan beliau mengenai prinsip pemisahan kuasa yang demokratik, aspek kelemahan hakim, gambaran gangguan yang diterima serta pelbagai persepsi negatif yang lain, maka kritikan terhadap badan kehakiman tidak seharusnya lekas dianggap sebagai satu perbuatan menghina mahkamah.

Pencemaran institusi

Tambahan pula, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah, mantan Ketua Hakim Negara, pernah memberi kenyataan bahawa Tun Dr. Mahathir menjadi punca badan kehakiman tunduk kepada ahli politik. Ini tentulah merujuk kepada Krisis Kehakiman di Malaysia pada tahun 1988.
Dalam krisis tersebut, Ketua Hakim Negara, Tun Dato’ Haji Mohamed Salleh bin Abas dan dua orang hakim kanan Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Suleiman bin Pawanteh dan Datuk George Edward Seah  atas pertuduhan “salah laku kehakiman” sungguhpun dakwaan tersebut jelas bermotifkan politik selepas UMNO diharamkan.

Sebuah Panel Tokoh-Tokoh Terkemuka telah dibentuk untuk mengkaji semula Krisis 1988 ini yang diselia oleh sebuah Jawatankuasa Bersama terdiri daripada Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Antarabangsa, Lawasia dan Transparency International-Malaysia.
Dalam laporan Panel ini, turut dipetik kritikan Dr. Mahathir kepada badan kehakiman yang disiarkan oleh majalah Time pada 24 November 1986.

Meskipun menolak usul menghina mahkamah yang dibawa oleh Lim Kit Siang, Tan Sri Harun Hashim selaku hakim di Mahkamah Tinggi ketika itu menyatakan Perdana Menteri keliru dengan konsep pemisahan kuasa dan keperluan badan kehakiman yang bebas dalam sistem demokrasi. Teguran ini tidak diterima baik oleh badan eksekutif (baca: Dr. Mahathir).

Kemudian, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah, mantan hakim Mahkamah Tinggi pernah cuba mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman negara yang menyebabkan beliau dipaksa meletakkan jawatan. Dalam wawancara New Straits Times yang disiarkan pada 11 Jun 2006, beliau turut mendedahkan kenyataan Mokhtar Abdullah, peguam negara yang terlibat dalam penyingkirannya, mengenai ‘meriam yang dihadapkan kepadanya’ (baca: ugutan daripada pihak tertentu).

Dan tentunya, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai VK Lingam yang menyatakan terdapat cukup bukti bagi menyiasat keenam-enam individu utama – iaitu Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri; Tun Eusoff Chin dan Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, kedua-duanya mantan Ketua Hakim Negara; Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kini Menteri Wilayah Persekutuan; Datuk VK Lingam, peguam dan Tan Sri Vincent Tan, jutawan – di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-Undang kerana terbabit dalam satu percaturan pelantikan hakim-hakim.

Adakah kes ini tidak cukup serius sehingga kita belum mendengar sebarang pendakwaan mengenainya dan kes ditutup?
Daripada fakta-fakta di atas, jelas sekali pentingnya kebebasan kehakiman difahami menurut konteks demokrasi. Jika tidak, badan eksekutif bukan sahaja akan bermaharajalela, tetapi menyebabkan bukan sahaja hakim, malah ketua hakim; bukan sahaja peguam, malah peguam negara tunduk kepada apa yang diinginkan menurut pemahaman mana-mana ahli politik yang sukakan kekuasaan.
Daripada beberapa fakta yang dikemukakan di atas, ternyata badan kehakiman di Malaysia perlu terus dibicarakan.

Seperti ungkapan Tun Abdullah Badawi, mantan Perdana Menteri ketika majlis penyampaian ex-gratia kepada semua hakim-hakim yang menjadi mangsa kes 1988, “ia adalah tempoh krisis yang negara kita tidak pernah pulih sepenuhnya”.

*Amin Ahmad ialah pengurus di Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives. Beliau merupakan pengarah pengasas, Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) dan founding associate, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment