اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Sunday, August 3, 2014

Mahukah Anwar akur Wan Azizah bukan calon terbaik?

 

 Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Sanggupkah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim “beralah” dalam kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor? Atau, adakah demi ego, beliau akan terus bertegas mahu isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menduduki kerusi itu?
 
Memang senario Anwar Ibrahim mengakui bahawa percaturan politiknya gagal kerana dipatahkan oleh PAS, agak sukar digambarkan.
 
Namun musibah lebih besar menanti untuk menimpa Pakatan Rakyat jika Anwar berkeras mahu hanya Wan Azizah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
Anwar kini berhadapan dengan PAS yang tegas dan yakin dengan pendiriannya. Meskipun Anwar mungkin masih boleh mengharapkan sokongan DAP namun pada jangka panjang, Anwar harus insaf beliau lebih memerlukan PAS. 
 
Anwar mungkin boleh meremehkan “cabaran” PAS kali ini sebagai tidak santun dan bertentangan semangat Pakatan Rakyat namun beliau harus insaf hakikatnya, PKR yang mencetuskan polemik kerusi Menteri Besar ini. 
 
Adalah naif untuk menyimpulkan bahawa PAS tidak tahu fe’el politik Khalid Ibrahim menjengkelkan saf pimpinan PKR. Naif juga mengatakan PAS tidak sedar Khalid “mengampu” PAS untuk mengimbangi “kemarahan” PKR terhadapnya.
 
Kisah sekumpulan pemimpin dan wakil-wakil rakyat PKR menghantar memorandum supaya Khalid dikenakan tindakan disiplin dan mendesak beliau digantikan awal-awal lagi sudah sampai ke pengetahuan pimpinan PAS. 
 
Walaupun PAS akur PKR memang teliti menyusun strategi politiknya di Selangor namun PAS mungkin terkilan mengapa pimpinan PKR tidak bertindak segera menangani isu karenah Khalid ini.
 
PAS mengizinkan dua pemimpin PKR – Azmin Ali dan Khalid Ibrahim -- bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri dan juga kerusi Dewan Rakyat pada pilihanraya umum 2008 dan 2013. 
 
PAS faham PKR, khususnya Anwar Ibrahim, mahu menyediakan pemimpin untuk menerajui Selangor dan kerajaan persekutuan jika ia dan Pakatan Rakyat menang besar. 
 
Realitinya PKR diberi mandat menerajui Selangor. Maka Anwar memilih Khalid. Harapan Anwar ialah beliau boleh menggerakkan sesuatu strategi yang dipanggilnya coup de tat 16 September 2008 untuk menguasai Dewan Rakyat. 
 
Ketika itu, Anwar mahu Azmin berkhidmat dalam kabinet (sekurang-kurangnya demikian dibisikkan kepada Azmin). Realitinya juga Anwar melihat Azmin sebagai anak didik yang setia dan pelaksana arahan yang cekap. 
 
Namun apabila gula-gula politik ini menjadi “jauh panggang dari api” Azmin dan penyokongnya mulai resah. Justeru mereka sinis dan kritikal terhadap cara Khalid menguruskan Selangor.  Ada kritikan mereka wajar, ada yang tidak. 
 
Demi meredakan keadaan Anwar “menurunkan” Khalid sebagai pengerusi Majlis Kepimpinan PKR Negeri dan meletakkan Azmin di tempat itu. Harapannya Khalid akan tumpukan perhatian pada soal pentadbiran Selangor sahaja. 
 
Namun ego Khalid enggan menerima beliau harus merujuk kepada Azmin dalam soal politik. Sebab itu pada pemilihan pimpinan PKR 2010 Khalid menyuarakan hasrat menyaingi Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
 
Namun Anwar tidak merestui. Anwar tidak mahu jawatan nombor dua PKR jatuh pada pesaing Azmin, iaitu Zaid Ibrahim. Ketika itu Anwar lebih mempercayai Azmin mengurus PKR.
 
Zaid tewas. Merajuk. Keluar PKR. Tinggallah Khalid merawat kekecewaannya tidak diberi kepercayaan penuh mengurus soal ekonomi, pembangunan dan politik Selangor. Ego Khalid tidak tenteram. Maka Azmin menjadi sasarannya.
 
Silap Anwar ialah beliau mentaksir rendah ego dan kemampuan politik Khalid. Namun apabila secara rambang dan kerap Khalid enggan menurut nasihat dan arahan, baru Anwar sedar bahawa Khalid bukan calang-calang saingan. 
 
Seharusnya Anwar bertindak tegas terhadap Khalid. Bagaimanapun beliau gagal membaca sifir politik presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang berkuasa mutlak menentukan bila pilihanraya umum ke-13 akan dilakukan. 
 
Ini mengikat Anwar daripada  “melentur” Khalid. Anwar tidak boleh menghadapi pilihanraya umum ke13 dalam keadaan Selangor bercelaru. Suka atau tidak beliau harus menjulang prestasi Khalid sebagai terbaik. 
 
Rakyat percaya kata-kata Anwar. Pengundi Selangor memberi kepercayaan lebih besar kepada Khalid dalam PRU 2013. Khalid makin galak dan berusaha mengkembirikan upaya politik Azmin dan mengikis pengaruhnya di PKNS.
 
Khalid pun mencabar Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Azmin terpaksa mempertahankan kedudukan politiknya. Jika tidak beliau hanya ADUN Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak sahaja. 
 
PKR dan rakyat mulai bertanya apakah nilai kesetiaan Azmin pada Anwar? Justeru berlakulah kritik dan kadangkala nista keluar dari kalangan pengikut Azmin terhadap Anwar dan PKR yang dipimpin Wan Azizah Wan Ismail. 
 
Anwar tidak senang dikritik.  Seberapa mungkin beliau mahu pastikan ruang politik Azmin tidak berkembang. Beliau pun merestui Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk membelah-bahagi sokongan pada Azmin.
 
Paling penting Anwar tidak mahu Azmin mencabar Wan Azizah untuk kerusi presiden. Maka beliau pun “merendahkan” statusnya daripada ‘Mursyidul Am PKR’ dan mengumumkan akan bertanding jawatan presiden. 
 
Apabila sah Azmin tidak cuba bertanding jawatan presiden, Anwar pun menarik diri bagi memberi kemenangan percuma kepada Wan Azizah. 
 
Azmin hilang kasih sayang mentornya. Namun itu tidak membantu Anwar maneyelesaikan masalahnya berhubung perangai Khalid yang mengerah seluruh kudrat politik dan ekonominya dalam pertarungan membina persepsi baik di mata rakyat. 
 
Pemimpin PAS disantuni hingga berjaya “menguja” Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bertandang ke kediamannya selepas bertarawih hanya untuk menyebarkan gambar kunjungan itu dalam internet. 
 
Beliau juga menziarah dan meraikan aidilfitri di kediaman Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Potret itu tersebar di internet dan akhbar-akhbar utama. 
 
Bimbang Khalid mulai memenangi persaingan persepsi ini, ada pula ejen Anwar dalam PAS cuba mengalihkan isu kepada soal “moral” PAS dan setiakawannya pada Pakatan Rakyat. Taktik ini gagal. PAS dapat membaca kepetualangan ini. 
 
Namun Anwar tahu bahawa PAS tahu siapa Khalid sebenarnya. Anwar juga yakin PAS sedar Khalid menggunakan pengaruh PAS sebagai perisai menghadapi kemarahannya.
 
Sebab itu Anwar yakin Pakatan Rakyat tidak akan berpecah.  Namun mahukah Anwar beralah dan mengakui bahawa isu ini menjadi krisis kerana “kelemahannya” tidak bertindak awal menyusun atur soal rumahtangga PKR?
 
Mahukah Anwar menerima hakikat bahawa juga PAS pandai membaca politik dalam PKR? Lantas bersediakah Anwar menerima hakikat bahawa sebenarnya PAS tiada halangan Khalid digantikan tetapi bukan oleh Wan Azizah?
 
Jika tidak, mengapa perwakilan PAS yang dipimpin oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu tidak menolak usul mesyuarat Majlis Presiden lalu mahu menggantikan Khalid? Sudah pasti soal pertukaran Menteri Besar bukan isunya.
 
Bersediakah Anwar berkompromi untuk mengemukakan calon lain menggantikan Khalid?..


No comments:

Post a Comment