اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Thursday, August 14, 2014

TINDAKAN SHAARI SUNGIP & HASNOL DEMI SELAMATKAN PR

 



Adun PAS sokong Wan Azizah jadi MB Selangor sedia dipecat

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Saari Sungib bersedia dipecat PAS kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan tetapi menegaskan prospek menjadi Adun bebas tidak akan mengubah keputusannya.

Adun dua penggal itu mengatakan beliau membuat keputusan menyokong Dr Wan Azizah untuk memastikan Selangor kekal di tangan Pakatan Rakyat (PR).

"Saya percaya pendirian saya tidak bercanggah dengan polisi PAS kerana parti saya sudah menyatakan untuk bersama Pakatan," katanya kepada pemberita selepas 30 Adun menyatakan hilang keyakinan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar di Hotel Empire di Subang Jaya hari ini.

Saari dan rakannya Adun Morib Hasnul Baharuddin merupakan dua Adun daripada PAS yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada Dr Wan Azizah walaupun jawatankuasa pusat parti Islam tersebut hanya akan bermesyuarat untuk menyelesaikan krisis di Selangor pada Ahad ini.

Menurut Saari, beliau akan kekal dengan keputusannya walaupun PAS mendesaknya berubah fikiran.

"Keutamaan saya sekarang adalah untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan di Selangor dan pendirian saya tidak bercanggah dengan pendirian parti," katanya.

Dalam menjelaskan keputusannya, Saari mengatakan mesyuarat PAS masih terlalu lama untuk berlangsung sedangkan Khalid melakukan pelbagai tindakan.

Sementara Hasnul bersetuju dengan alasan Saari untuk menyokong Dr Wan Azizah dan mengatakan Khalid perlu berundur. Beliau yakin penyokong akar umbi PAS bersetuju dengan tindakannya.

"Saya rasa pimpinan PAS harus memikirkan semula ini. Saya masih setia kepada PAS," katanya. -TMI 


ADUN keluar parti jika PAS terus sokong MB

ADUN PAS dari Hulu Kelang, Saari Sungib bersedia untuk keluar parti jika PAS kekal menyokong Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan selepas sidang media tengah hari tadi.

"Kalau itu antara pilihan di antara parti dan saya, saya bersedia," katanya.

Beliau ditanya jika beliau sanggup berbuat demikian jika PAS kekal dengan pendirian mereka sekarang dalam krisis menteri besar Selangor.

Saari dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin hari ini menyatakan sokogan terhadap Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid.

Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana "dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat".

"Saya bergerak dari satu asas iaitu polisi dan dasar PAS untuk bersama-sama Pakatandan polisi ini saya sokong untuk membolehkan Pakatan terus memerintah dan mentadbir Selangor," kata Saari.

Menurutnya, beliau yakin baki 13 orang ADUN PAS lain akan menurut jejak langkah beliau.

"Saya percaya rakan-rakan ADUN dari PAS juga akan mengambil langkah yang sama," katanya selepas sidang media Wan Azizah di Subang tengah hari ini.

Saari juga yakin mesyuarat ahli Jawatankuasa Pusat PAS pada 17 Ogos ini akan memutuskan untuk terus berada bersama Pakatan.

"Saya yakin selepas 17 hari bulan, sekiranya benar apa yang saya yakini PAS tidak akan berganjak daripada Pakatan Rakyat.

"Saya anggap memperkukuhkan Pakatan di Selangor tidak bertentangan dengan PAS," katanya.

Hasnul pula berpendapat pentadbiran Khalid sekarang tidak lagi menjunjung semangat Pakatan selepas beliau mengumumkan kerajaan Pakatan tidak wujud lagi di Selangor.

"Saya sebagai YB Morib mengambil langkah yang sama dengan YB Hulu Kelang untuk menyokong kerajaan Pakatan di Selangor.

"Semangat dan roh Pakatan itu tak ada pada menteri besar dan saya bersama Pakatan untuk memerintah negeri Selangor sebenar-benarnya," katanya.

Beliau turut mengkritik Khalid yang menurutnya "merosakkan Selangor jam demi jam".

"Kerosakan yang dilakukan Khalid kepada Selangor bukan setakat minggu ke minggu tetapi on an hourly basis (jam demi jam)," katanya. 
-mk

Ahli PAS diminta jangan belakangi parti

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta supaya semua ahli mematuhi arahan dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangi parti.

Beliau juga meminta supaya semua ahli dapat bersabar menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS Ahad ini.

"PAS mengingatkan ahli parti mematuhi keputusan parti dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangi keputusan jemaah.

"Parti akan mengadakan mesyuarat pada 17 haribulan nanti. Harap semua bersabar," kata Tuan Ibrahim (kiri) melalui SMS kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan dua ADUN PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor hari ini.

Menurut dua ADUN PAS tersebut, mereka memberi sokongan kepada Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana "dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat".

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Selain Abdul Hadi, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga bersetuju seratus peratus supaya Khalid kekal memimpin Selangor.

Malah, Majlis Syura Ulamak PAS juga menetapkan pendirian agar Khalid dikekalkan jawatan itu sekiranya beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung pecah amanah. 
-mk

No comments:

Post a Comment