QZ8501: Tiada bukti kukuh sokong teori pesawat meletup di udara sebelum terhempas 
    
PENYIASAT
 Airbus memeriksa serpihan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Pelabuhan
 Kumai, Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah hari ini. - Foto Reuters
JAKARTA: Tidak ada bukti kukuh untuk menyokong teori bahawa pesawat 
AirAsia Indonesia QZ8501 meletup di udara sebelum terhempas di dalam 
air, kata seorang penyiasat keselamatan pengangkutan Indonesia, hari 
ini.
"Tidak ada data untuk menyokong teori seperti itu," kata Santoso 
Sayogo, seorang pegawai penyiasat di Jawatankuasa Keselamatan 
Pengangkutan Negara.
Kenyataan Santoso itu bertentangan dengan analisis oleh Ketua 
Penyelaras Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS) 
Indonesia, Supriyadi.
Supriyadi berkata, pesawat membawa 162 penumpang termasuk anak kapal 
itu yang terhempas Ahad minggu lalu di Laut Jawa mungkin "mengalami 
letupan" sebelum ia terhempas ke dalam air, antara lain disebabkan 
perubahan mendadak terhadap tekanan udara.
"Analisis saya, berdasarkan bangkai yang ditemui dan penemuan 
serpihan lain, pesawat itu mengalami letupan sebelum ia terkena air," 
katanya kepada pemberita.
Beliau berkata bahagian kiri pesawat itu seolah-olah sudah hancur, 
menunjukkan bahawa ada perubahan terhadap tekanan udara yang menyebabkan
 letupan berlaku. 
REUTERS/Agensi 
 
 
 
 
 
 
          
      
 
 
No comments:
Post a Comment