Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata minyak dan gas bukan milik orang
Melayu dan Bumiputera semata-mata tetapi milik semua rakyat Malaysia
tidak kira kerajaan atau pembangkang.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu
berkata, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) menyebutkan dengan jelas
minyak dan gas adalah milik semua rakyat Malaysia.
"Ia menyebut rakyat Malaysia, jadi ia boleh milik kerajaan, boleh juga
kepada pembangkang, dan sesiapa sahaja. Kami (Petronas) ini adalah
penjaga,” katanya dalam wawancara eksklusif akhbar perniagaan mingguan
berbahasa Inggeris, The Edge keluaran 23-29 Jun, 2014.
Beliau berkata, pada 2010 Petronas menyusun semula struktur semua
organisasinya, termasuk komposisi lembaga pengarah dengan memasukkan
mereka yang berkebolehan.
"Orang bercakap yang saya menyingkirkan kakitangan kerajaan dengan
membawa masuk bukan Melayu, membuka Petronas yang menjadi milik orang
Melayu kepada orang bukan Melayu. Adakah kami tidak berminat pada
kecekapan? Inilah perkara susah yang saya hadapi.
"Petronas perlu membentuk diri menjadi organisasi profesional, tetapi
pada masa sama saya ditarik dalam politik, campur tangan pihak
berkepentingan, oleh agenda yang ketinggalan zaman,” katanya.
Beliau berkata, campur tangan golongan birokrat dari dalam kerajaan menyukarkan Petronas untuk membuat keputusan.
"Setakat ini, bos saya (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) tidak
banyak mencampuri urusan Petronas, tetapi orang di sekeliling beliau
yang campur tangan.
“Bolehkah awak bayangkan masalah yang saya alami?”
Shamsul berkata, syarikat minyak negara itu mengamalkan kecekapan dan
meritokrasi untuk setanding dengan syarikat minyak global dan keputusan
yang dicatatkan oleh Petronas setiap tahun menunjukkan mereka
melaksanakan tanggungjawab untuk kekal berdaya saing di peringkat
global.
"Adalah terlalu sukar untuk membuat kerja dengan jujur. Awak menghabiskan masa melakukan tugas lain daripada kerja hakiki.
"Keputusan kewangan menunjukkan keadaan sebenar, ia amat baik. Tidak
seperti orang luar (yang menjadikan sesuatu perkara sukar) dan juga
orang daripada kerajaan-birokrat. Campur tangan birokrat menjadikan
sesuatu perkara menjadi susah,” katanya.
Wawancara yang bertajuk “Adakah kami tidak berminat pada kecekapan” itu
dibuat sebagai mengulas khabar angin menyatakan Shamsul akan meletak
jawatan.
Dalam wawancara itu, beliau berkata, sebahagian daripada transformasi
Petronas adalah untuk menjadikan syarikat minyak negara itu model baharu
dunia korporat Malaysia daripada segi profesionalisme.
Shamsul berkata, DNA Petronas adalah kurangnya campur tangan kerajaan, akan membolehkan Petronas bertindak secara profesional.
"Pada masa sama mereka (kerajaan) mahukan Petronas menjadi sebuah
syarikat minyak global yang setara dengan Exxonmobils dan Shell, dan
kami mahu menjadi seperti itu. Tetapi Shell dan Exxonmobils tidak banyak
diganggu oleh kerajaan mereka,” katanya.
Beliau juga mendedahkan beberapa syarikat seperti Labuan (Shipyard) yang
memerlukan lesen fabrikasi dan kerajaan meminta Petronas membantu
kerana mereka mempunyai limbungan.
Katanya, Petronas membantu syarikat itu dengan memberikan lesen dengan
syarat akan ada proses bida dan tender ditawarkan di peringkat serantau.
Tetapi selepas mendapat lesen, syarikat itu mahu peruntukan pula.
"Saya orang Melayu dan saya bangga... awak fikir saya tidak akan bantu
kaum saya? Sudah tentu saya mahu bantu mereka, tetapi dengan cara yang
lebih sesuai, bukannya melalui pemberian dan suapan,” katanya. ~tmi
No comments:
Post a Comment