Saya terkejut dengan seorang
penceramah agama yang dikenali mengulasisu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf
al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir dalam makanan dan bahan yang
terdapat secara meluas di dunia hari ini.
Jika
kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi,
Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa,
beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang
mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.
Bagi menyokong hujahnya,
penceramah itu secara 'janggal' menyebut empat-empat mazhab mengharamkan
babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang kulit babi.Saya ingin
katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah
mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas.
Jika tidak ia hanya menampakkan
kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas.Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis
Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Morocco
pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak tahu bahawa babi itu haram.
Namun isu yang dibahaskan ialah
istihalah yang telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam
pelbagai mazhab Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini.
Isunya, bukan ingin makan
seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan coklat,
ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan tertentu
yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya.
Adapun kenyataan beliau bahawa
mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah canggung. Beliau hendaklah
tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan semua mazhab termasuk
al-Auza'i, al-Thauri, Laith bin Sa'd, Zahiri, Zaidi dan lain-lain
semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak. Namun, bukan itu isunya.
Apa yang dibincangkan isu
istihalah.Adapun kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi,
sebenarnya bukan sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan
bulu. Apakah boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut
ataupun bone china seperti hari ini ataupun tidak boleh?
Walaupun banyak imam yang
melarang perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan.
Contoh boleh lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang
menyebut beberapa pendapat.
Jika kita semak pendapat yang
membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam
al-Syaukani.Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah
khilafiyyah.
Ada yang membolehkan seperti
Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di Morocco
1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma al-Fiqh
al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.
Bukan orang Islam nak disuruh
ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan bahan yang berubah tapi
asal-usulnya ada kaitan dengan babi.Ini boleh difahami juga seperti
rakyat muslim Singapore yang meminum new water iaitu air najis yang
telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di Singapore sekarang.
Bukan mereka nak minum najis,
tetapi air itu asal bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.Kita
mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu
kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan
lain-lain.
Namun hendak membincangkan isu
ilmu hendaklah berasaskan maklumat dan pengetahuan.Sekali lagi, hal ini
khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Setiap orang membaca, meneliti dan
mengikut apa yang dia yakin lebih diredhai Allah untuk dirinya.
Fatwa ini dibincangkan oleh para
sarjana Islam moden sebab bahan berkena kepada banyak produk yang wujud
terutama mereka yang hidup di negara minoriti muslim. Sementara sifat
Islam itu memudahkan umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat
hal ini berlaku apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi
pengguna. ~awani
No comments:
Post a Comment