Terlatih untuk
Membuat Keputusan Berdasarkan
Maklumat Sahih Dan
Mengelak Spekulasi Liar Tanpa Asas?
Saya
ingin merujuk kepada kenyataan Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid
Mohamad yang membuat kenyataan bahawa mantan Mufti Pulau Pinang
memberitahunya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama
Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang
sama.
Tambah beliau lagi;
“Jika kita tidak
membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Di
waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen
pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan
kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau
akan terpaksa menyediakan gereja, tokong dan gurdwara”. Menurut beliau
akhirnya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna
lagi.
Ini bukan kali pertama
Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang difitnah kononnya
mengabaikan Islam di negeri ini. Namun, apabila kali ini datang daripada
Bekas Ketua Hakim Negara dan memomokkan masyarakat Melayu bahawa agama
Islam akan terancam tanpa merujuk sebarang bukti sahih, maka saya
khuatir apakah selama ini Tun Abdul Hamid Mohamad tidak terdidik untuk
membuat keputusan berdasarkan fakta semasa menjadi Ketua Hakim Negara?
Jika inilah sikap Bekas
Ketua Hakim Negara, tidak hairanlah selama ini badan kehakiman negara
berdepan dengan isu wibawa yang besar akibat sentiasa berat sebelah
terhadap Kerajaan UMNO-BN.
Beliau
seharusnya menghormati kedudukan beliau kini yang merupakan negarawan,
bukannya terjebak dalam politik fitnah yang hanya merendahkan dirinya
kepada tahap macai UMNO-BN. Maka atas dasar hormat terhadap kedudukan
beliau, saya memilih untuk menjawab kenyataan tidak berasas beliau
secara terhormat, dan bukannya sekadar membuat spekulasi bahawa Tun
Abdul Hamid Mohamad ini merupakan macai UMNO-BN.
Fakta: Peruntukan Islam Meningkat Saban Tahun Untuk Kebajikan, Infrastuktur dan Juga Program Keilmuan
Saya
yakin jika Tun Abdul Hamid Mohamad menyemak fakta, akan mendapati
bahawa syiar Islam bukan sahaja terpelihara, malah saban tahun mendapat
tambahan peruntukan yang sangat tinggi – peningkatan 300% - berbanding
zaman pentadbiran BN. Malah, kutipan dan agihan zakat negeri juga telah
meningkat berkali ganda berbanding tahun 2007. Umpamanya, pada tahun
2007, hanya agihan zakat Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya berjumlah RM
34.5 juta, berbanding tahun lepas, 2013, di bawah Kerajaan Pakatan
Rakyat, agihan zakat meningkat kepada RM73.1 juta. Tambahan lagi,
sempena Ramadhan ini, Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan
sumbangan Ehya Ramadan sebanyak RM 222,000.00 kepada semua masjid dan
surau utama di seluruh negeri.
Pada masa yang sama,
Kerajaan negeri telahpun memberikan tanah seluas 3.49 ekar di Bukit
Gantong/Jalan Scotland yang sangat stratergik yang kini bernilai RM100
juta untuk membina Kompleks Mahkamah Syariah yang dijangka siap
sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.
Selain bantuan kebajikan
dan pembangunan infrastruktur, di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat,
terdapat banyak program keilmuan dianjurkan oleh banyak agensi kerajaan,
termasuklah Penang Institute yang secara berterusan menganjurkan siri
Forum Nusantara yang bertujuan mengangkat ilmuan Pulau Pinang seperti
Sheikh Syed Al-Hadi, Tuan Haji Yusuf Rawa, dan Tuan Guru Abdullah Fahim
dengan tema besar seperti keilmuan Islam, gerakan Islah, dan kebudayaan
Melayu Islam Pulau Pinang. Malah, Penang Institute juga pernah membawa
ilmuan kontemporari dunia Islam, Prof Tariq Ramadhan ke Pulau Pinang.
Mana-mana ilmuan Islam lainnya adalah bebas dan sentiasa dialu-alukan di
negeri ini.
Peningkatan
Peruntukan Islam Bukan Dengan Cara Kurangkan Peruntukan Bagi Masyarakat
Bukan Islam Tetapi Dengan Cara Tingkatkan Pendapatan Negeri Serta
Elakkan Rasuah
Prinsip asas kepada
peningkatan peruntukan kepada agama Islam ini adalah berdasarkan
keperluan tanpa meminggirkan masyarakat bukanIslam di negeri ini. Pada
masa yang sama, peruntukan ini adalah selari dengan kejayaan Kerajaan
Negeri Pakatan Rakyat meningkatkan pendapatan negeri.
Kerajaan Negeri
merekodkan lebihan bajet setiap tahun, menaikkan aset Kumpulan Wang
Disatukan sebanyak 50% sejak 2008 kepada RM1,192 juta, pengurangan
hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95%, dan merupakan Kerajaan Negeri
tunggal di Malaysia yang dipuji oleh Transparency International kerana
Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah Kerajaan Negeri yang pertama
mengamalkan sistem tender terbuka secara kompetitif dan mengumumkan
harta peribadi Ketua Menteri, Ahli MMK dan ADUN-ADUN.
Kerajaan Negeri Pulau
Pinang juga meneruskan prestasi cemerlang lebihan bajet tahunan dengan
lebihan bajet 2012 sebanyak RM114.47 juta mengikut Laporan Ketua Audit
Negara 2012 yang juga memuji keupayaan Pulau Pinang dalam mengamalkan
sistem pengurusan kewangan dengan baik.
Tun Abdul Hamid Mohamad Harus Kembali Menjadi Negarawan Dan Elak Dilihat Sebagai Macai UMNO-BN
Berdasarkan fakta-fakta
ringkas ini, adalah jelas bahawa Islam sentiasa dimartabatkan di Pulau
Pinang. Maka saya berharap Tun Abdul Hamid Mohamad dapat menyemak dan
membetulkan semula kenyataan yang telah beliau buat serta, sebagaimana
sikap seorang negarawan, harus memohon maaf atas kekeliruan dan persepsi
yang salah yang beliau telah timbulkan terhadap Kerajaan Negeri Pulau
Pinang. Saya yakin, dengan membetulkan sikapnya ini, akan membezakan
beliau sebagai negawan dan bukannya macai UMNO-BN.
Haris Zuan
Ketua DAPSY Bukit Bendera
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang
No comments:
Post a Comment