HARIS ZALKAPLI
SETIAP
kali berlaku serangan ke atas Gaza di Palestin, atau sebarang konflik
dalam wilayah dunia Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, sering
disebut dalam kenyataan-kenyataan, mendesak pertubuhan terbesar
masyarakat Islam dunia itu bertindak.
Malangnya,
realiti politik aliansi global tidak membenarkan peranan yang besar itu
diambil oleh OIC, sebuah pertubuhan yang dikuasai oleh Arab Saudi dan
tidak melibatkan diri dalam isu politik yang rumit.
Negara-negara
Arab yang secara tradisi menguasai dunia Islam dan sekaligus OIC ialah
Arab Saudi dan Mesir, dua negara yang juga sekutu kuat Amerika Syarikat.
Dua
negara ini ialah negara yang tidak senang dengan Ikhwan al-Muslimin dan
Hamas, kumpulan yang umumnya berkongsi falsafah perjuangan yang sama.
Maka, amat sukar untuk melihat OIC yang dikuasai Saudi dan Mesir berupaya mengambil tindakan yang tegas dalam isu Palestin.
Mesir di
bawah Abdel Fatah al-Sisi kini lebih kuat memusuhi dua kumpulan ini,
dan tidak dapat diharapkan sama sekali untuk membantu dalam kes Gaza.
Dalam
dunia Arab, politik serantau seperti konflik Syria dan Iraq biasanya
ditangani melalui Liga Arab, yang kini juga dikuasai oleh Arab Saudi dan
sekutu-sekutunya di Teluk Parsi.
Tindakan
paling tegas diambil oleh Liga Arab sejak beberapa tahun lalu, pada
2011, ialah menggantung keahlian Syria, dalam satu tindakan yang
memperlihatkan persaingan serantau melibatkan konflik di negara itu.
Syria
yang bersekutu dengan Iran sejak 1979 kini digugat oleh Saudi, Qatar,
Turki dan negara sealiran yang lain dalam usaha melemahkan paksi
Syria-Iran dan kumpulan-kumpulan yang disokong mereka, yang paling utama
Hizbullah dan Hamas.
Syria
dan Iran - dan juga Sudan - memainkan peranan penting dalam mengukuhkan
kekuatan persenjataan Hamas dan Hizbullah dalam berdepan dengan Israel.
Syria
dan Iran ialah pembekal utama senjata kepada Hamas dan Hizbullah, yang
menjadi satu sebab AS yang melindungi Israel mahu pakatan Syria-Iran
diputuskan.
Selain
dua negara itu, Sudan berperanan sebagai satu saluran bekalan senjata
dari Iran ke Hamas dan Hizbullah. Kilang senjata, yang satu destinasinya
utamanya ialah Gaza, turut beroperasi di wilayah Sudan.
Pada
tahun 2012, sebuah kilang senjata di Sudan, tidak jauh dari Khartoum,
dibom, dipercayai oleh Israel sebagai usaha menjejaskan bekalan senjata
kepada musuhnya di Gaza dan Lubnan.
Kilang
tersebut dikatakan dimiliki oleh Iran, dan dioperasikan untuk
membekalkan senjata kepada musuh-musuh Israel di kawasan Syam.
Sudan
sebelum itu pada 2009 menjadi sasaran serangan udara, dipercayai oleh AS
ke atas konvoi membawa senjata. Satu serangan pada Januari dan satu
lagi pada Februari, 2009, dilaporkan mengorbankan 88 orang.
Hari
ini, Iran masih membekalkan senjata kepada Hamas - dan juga semakin
banyak kepada Jihad Islami - yang berdepan dengan serangan Israel.
Realiti
politik serantau menunjukkan yang kuasa-kuasa Arab tidak diyakini untuk
berdepan secara tegas dengan Israel, akibat pelbagai kepentingan dan
keterbatasan.
Sebuah
lagi negara Islam, Turki, telah menunjukkan kesediaan berdepan dengan
Israel pada tahap tertentu, tetapi kedudukannya sebagai anggota
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, menghalangnya daripada
bertindak lebih tegas.
Realiti
politik rantau Arab mendedahkan kompleksiti yang menjadikan sebarang
tindakan tegas ke atas Israel sukar dilakukan oleh kuasa-kuasa Arab,
terutama Mesir yang bersempadan dengan Gaza, yang kini dipimpin oleh
al-Sisi.
Kekuatan dan iltizam politik yang lebih kuat diperlukan oleh kerajaan-kerajaan negara Islam untuk membantu umat di Palestin.
Ini
tidak bermakna usaha membantu terhad kepada kerajaan, kerana
pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan telah menunjukkan kemampuan dalam
membantu warga Palestin. Tetapi, realiti politik melibatkan persaingan
kuasa-kuasa di dunia Islam ini menjadikan penyelesaian masalah Palestin
menjadi semakin sukar, dan bermakna serangan ke atas Gaza akan terus
berulang.
Dalam
menangani isu kekejaman Israel, selain bantuan kemanusiaan, penyelesaian
politik tetap diperlukan kerana faktor kuasa negara yang besar dalam
hal ini.
Tetapi,
pada masa sama, perhatian yang serius juga perlu diberikan pada umat
Muslim di negara-negara lain yang juga berdepan kezaliman seperti di
Myanmar, Thailand, Filipina, dan Sri Lanka.
No comments:
Post a Comment