اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Thursday, December 18, 2014

Kenapa 1MDB lewat siapkan loji Jimah East?




PIARAPAKARAN S 

PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (National Energy Security Survey-NESS) untuk mewujudkan data asas mengenai isu-isu berkaitan tenaga. Rangka persampelan yang digunakan adalah senarai Blok Penghitungan (BP) yang dikemaskini maklumat Tempat Kediaman (TK) daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Persampelan dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Apabila ditanya sama ada responden berpendapat bahawa kerajaan melindungi Penjana Bebas (IPP), 60.09% rakyat Malaysian berpendapat bahawa kerajaan melindungi IPP dan baki 39.91% berpendapat kerajaan tidak melindungi IPP. Kuala Lumpur merekodkan peratusan tertinggi (85.86%) responden yang berpendapat kerajaan melindungi IPP diikuti oleh Negeri Sembilan (79.28%) dan Selangor (78.62%). Putrajaya mempunyai peratusan tertinggi (81.25%) yang berpendapat kerajaan tidak melindungi IPP diikuti oleh Sarawak (59.87%) dan Pahang (58.22%). Pecahan terperinci respon adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.



Jadual 1: Pendapat Rakyat Malaysia Sama Ada Kerajaan Melindungi IPP atau Tidak (peratusan)
Negeri
Melindungi IPP
Tidak Melindungi IPP
Johor
50.00%
50.00%
K. Lumpur
85.86%
14.14%
Kedah
53.29%
46.71%
Kelantan
73.03%
26.97%
Labuan
61.18%
38.82%
Melaka
71.38%
28.62%
Negeri Sembilan
79.28%
20.72%
Pulau Pinang
77.96%
22.04%
Pahang
41.78%
58.22%
Perak
72.04%
27.96%
Perlis
54.93%
45.07%
Putrajaya
18.75%
81.25%
Sabah
42.11%
57.89%
Sarawak
40.13%
59.87%
Selangor
78.62%
21.38%
Terengganu
61.18%
38.82%
Malaysia
60.09%
39.91%

Apabila responden ditanya tentang tanggungjawab kerajaan yang paling penting dalam isu-isu berkaitan dengan bekalan tenaga elektrik, 66.47% rakyat Malaysia berpendapat bahawa memastikan tarif elektrik sentiasa rendah merupakan tanggungjawab kerajaan yang paling penting. Ini diikuti oleh 24.26% rakyat Malaysia berpendapat bahawa memastikan semua rakyat termasuk penduduk luar bandar dan pedalaman mempunyai bekalan elektrik yang berterusan merupakan tanggungjawab kerajaan yang paling penting. 7.56% rakyat Malaysia berpendapat bahawa memastikan bekalan elektrik adalah stabil dan berterusan di kawasan perindustrian merupakan tanggungjawab kerajaan yang paling penting dan baki 1.71% rakyat Malaysia berpendapat bahawa memastikan bekalan elektrik adalah stabil dan berterusan di kawasan bandar merupakan tanggungjawab kerajaan yang paling penting. 

Berdasarkan respons-respons di atas, AWER ingin mengutarakan soalan-soalan berikut kepada Kerajaan Persekutuan:

I. Apakah yang Kerajaan Persekutuan akan lakukan untuk membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan adalah adil dalam berurusan dengan penganugerahan projek loji janakuasa dan juga memastikan hanya pembida cekap dan kos efektif dipilih?
II. Apakah yang Kerajaan Persekutuan akan lakukan untuk memastikan tarif elektrik kekal rendah, saksama dan berpatutan? 

Sekarang, mari kita lihat beberapa penyelesaian yang Kerajaan Persekutuan boleh laksanakan sebelum 31 Disember 2014. 

A. KELEWATAN MALAKOFF DALAM MENYIAPKAN PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU TANJUNG BIN 1000 MW 

Pada tahun 2011, Suruhanjaya Tenaga telah melaksanakan pembidaan terhad (restricted bidding) untuk brown field (lokasi yang mempunyai loji janakuasa sedia ada) untuk dua loji janakuasa arang batu 1000 MW (MegaWatt) dan projek kedua loji janakuasa arang batu (1000 MW) dianugerahkan kepada Malakoff tanpa proses pembidaan yang baru. Malakoff kalah dalam proses pembidaan yang pertama kepada TNB Janamanjung. Loji janakuasa arang batu Malakoff, iaitu loji janakuasa Tanjung Bin dijadual siap pembinaannya pada Mac 2016. 

Sekarang, loji janakuasa Tanjung Bin menjangkakan kelewatan 6 hingga 12 bulan. Mengapakah kelewatan ini berlaku? Mengapakah maklumat mengenai masalah pembinaan tidak dimaklumkan kepada pengawal selia untuk satu tempoh masa yang lama (tempoh masa yang boleh melahirkan anak gajah yang sihat)? Berdasarkan pemodelan AWER, kos tambahan bahan api yang akan disalurkan kepada tarif bagi kelewatan 6 bulan adalah lebih kurang RM321.97 juta dan untuk kelewatan 1 tahun adalah sekitar RM643.94 juta untuk 1000 MW. Jika Kerajaan Persekutuan ingin membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Persekutuan tidak melindungi IPP, Kerajaan Persekutuan mesti memastikan Malakoff menanggung semua kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan dalam penyiapan pembinaan loji janakuasa Tanjung Bin. Secara tidak langsung, ini juga akan membantu Kerajaan Persekutuan untuk mencapai tarif elektrik yang rendah, saksama dan berpatutan.

B. KELEWATAN 1MDB DALAM MENYIAPKAN PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU JIMAH EAST 2000 MW 

Permohonan pelanjutan 6 bulan oleh 1MDB dalam masa setahun selepas memenangi Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East semata-mata menunjukkan ketidakcekapan syarikat ini. Mengapakah perkara ini boleh berlaku? Apabila projek telah dianugerahkan, pemenang bidaan mempunyai tanggungjawab untuk menyiapkan projek ini megikut masa. Disebabkan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East masih di peringkat awal, AWER ingin mencadangkan hanya tiga pilihan bagi Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu kelewatan dalam penyiapan pembinaan loji janakuasa ini: 

Pilihan 1: Batal Penganugerahan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East kepada 1MDB dan Laksanakan Pembidaan Kompetitif yang Baru 

Loji janakuasa Jimah East dijadualkan siap pembinaan pada akhir tahun 2018 (unit pertama) dan pertengahan tahun 2019 (unit kedua). Kelewatan dalam penyiapan pembinaan loji janakuasa 2000MW ini akan menyebabkan gangguan jaminan bekalan elektrik (electricity supply security) yang serius. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan patut membatalkan penganugerahan projek Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East kepada 1MDB dan laksanakan pembidaan kompetitif yang baru. Ia adalah satu fakta yang diketahui umum bahawa pembinaan loji janakuasa arang batu akan mengambil masa kira-kira 4 tahun manakala pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) akan mengambil masa kira-kira 32 hingga 36 bulan. Maka, bidaan kompetitif yang bakal dilaksanakan adalah untuk pembinaan loji janakuasa CCGT dan bukannya loji janakuasa arang batu untuk mengelak berlakunya gangguan bekalan elektrik pada tahun 2018 dan 2019. Jika bidaan yang kompetitif dilaksanakan pada bulan Januari 2015 dan Notis untuk Teruskan (Notice to Proceed - NTP) diberikan menjelang akhir bulan Disember 2015, masih terdapat masa yang mencukupi untuk menyiapkan projek loji janakuasa CCGT 2000MW ini. Langkah ini (membatalkan penganugerahan projek kepada 1MDB) adalah satu peringatan keras (deterrent reminder) kepada semua syarikat penjanaan elektrik bahawa ia adalah tanggungjawab penuh mereka untuk menyempurnakan projek loji janakuasa mengikut masa atau mereka akan dihukum seberat-beratnya bagi ketidakcekapan mereka. 

Pilihan 2: Pastikan 1MDB Menanggung Semua Kos Tambahan yang Disebabkan oleh Kelewatan Penyiapan Pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East 
Berdasarkan tarif elektrik purata semasa, 41% kos bekalan tenaga elektrik terdiri daripada kos bahan api. Apabila berlakunya kenaikan harga gas asli dan arang batu, kos bahan api akan memberi impak yang lebih tinggi kepada tarif. Jika kerajaan meluluskan pelanjutan bagi Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East, ia juga perlu melanjutkan beberapa loji janakuasa gas lama yang akan ataupun sudah berhenti beroperasi. Loji-loji janakuasa lama ini akan menggunakan lebih banyak bahan api untuk menjana tenaga elektrik disebabkan oleh kecekapan penjanaan loji-loji janakuasa lama ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan loji-loji janakuasa baru. Ini akan menyebabkan kos bahan api memberi impak yang lebih tinggi kepada tarif elektrik. Mengapakah orang ramai dan sektor perniagaan perlu membayar kos tambahan ini? Orang ramai dan sektor perniagaan tidak meminta 1MDB untuk melambatkan penyiapan pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan mesti memastikan 1MDB menanggung semua kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan dalam penyiapan pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East jika Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk membenarkan permohonan pelanjutan oleh 1MDB. 
Pilihan 3: Kos tambahan yang Disebabkan oleh Kelewatan Penyiapan Pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East Dibayar oleh Kabinet dan Pegawai-pegawai Kementerian Yang Membenarkan Pelanjutan 

Jika Kerajaan Persekutuan tidak memilih Pilihan 1 atau Pilihan 2, AWER masih mempunyai pilihan ketiga dan terakhir untuk isu ini. Kerajaan Persekutuan boleh membenarkan permohonan pelanjutan oleh 1MDB dan hanya mengenakan penalti yang dihadkan sebanyak RM108 juta bagi setiap 1000 MW. Tetapi, segala kos tambahan selepas ditolak penalti (RM108 juta pada 1000 MW) perlu dibayar oleh ahli-ahli kabinet, menteri dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta pengerusi, pesuruhjaya dan pegawai-pegawai kanan di Suruhanjaya Tenaga. Sebagai contoh, jika kita menanda aras anggaran kos bahan api tambahan yang disebabkan oleh kelewatan penyiapan pembinaan loji janakuasa arang batu Tanjung Bin 1000 MW (RM 321.97 juta), kelewatan dalam penyiapan pembinaan loji janakuasa arang batu Jimah East 2000MW akan menyebabkan kos bahan api tambahan sebanyak RM643.94 juta. Selepas ditolak penalti (RM216 juta), ahli-ahli kabinet, menteri dan pegawai-pegawai kanan di KeTTHA serta pengerusi, pesuruhjaya dan pegawai-pegawai kanan di Suruhanjaya Tenaga perlu membayar sejumlah RM427.94 juta.

Mereka boleh mengeluarkan simpanan mereka, wang pencen dan juga meminta bantuan daripada ahli-ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara-mara untuk membantu membayar kos tambahan ini jika mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi. Pendek kata, jangan menyalurkan sebarang kos tambahan kepada orang ramai dan sektor perniagaan melalui tarif elektrik!

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

No comments:

Post a Comment