KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kurang daripada dua bulan mulai sekarang, 
tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 akan genap setahun, namun kejadian itu terus menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.
Persoalan yang terus bermain diminda semua pihak; Apa sebenarnya yang 
terjadi? Di manakah sebenarnya pesawat itu? Bagaimanakah nasib anak 
kapal dan penumpang di dalam pesawat itu? Adakah lokasi pencarian itu 
tepat? Adakah aset pencarian tidak canggih sehingga sukar mendapatkan 
sebarang petunjuk? Sampai bilakah operasi mencari perlu dilakukan?
Malah ada juga yang bertanya; Apa tindakan seterusnya jika pesawat 
diisytihar hilang? Adakah solat ghaib boleh dilakukan jika tiada 
sebarang kelibat ditemukan? Bagaimana dengan pampasan kepada waris 
keluarga dan siapa yang akan menanggung kos keseluruhan operasi?
Kesemua soalan ini diajukan Bernama kepada pakar penerbangan, bekas 
kapten kapal terbang, ahli akademik dan pakar agama bagi merungkai 
misteri kehilangan pesawat ini yang masih lagi belum terjawab sehingga 
kini.
Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 
penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam 
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah 
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas. Ia 
dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Mengulas lanjut mengenai operasi mencari dan kawasan pencarian, seorang 
pakar penerbangan, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata saiz
 sebuah pesawat Boeing 777 adalah sekitar 4,500 meter persegi, sementara luas kawasan pencarian adalah sekitar 59,600 kilometer persegi.
“Ini bermakna saiz pesawat tersebut hanyalah 0.078 peratus keluasan 
kawasan pencarian. Sedangkan pesawat AirAsia QZ8501 jatuh pada kedalaman
 hanya 30m iaitu 0.5 peratus kedalaman pesawat MH370.
“Itu pun telah mengambil masa dua minggu untuk menjumpai bahagian ekor 
pesawat QZ8501 dengan banyak petunjuk seperti serpihan dan mayat yang 
terapung,” katanya yang membandingkan operasi mencari MH370 dengan pesawat AirAsia QZ8501.
Pesawat Airbus yang membawa 162 orang termasuk tujuh anak kapal, hilang 
daripada imbasan radar pada 28 Dis semasa dalam penerbangan ke Singapura
 dari Surabaya, Indonesia. Pesawat malang itu terhempas di perairan 
Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia.
Abdul Rahmat, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia menjelaskan, pencarian untuk MH370 bukanlah
 satu pencarian yang mudah dan mencadangkan agar kapal dan peralatan 
ditambah bagi memperkuat operasi pencarian pesawat Boeing yang ke-404 
dibina itu.
Memetik laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang menerajui operasi itu, beliau berkata, kawasan pencarian MH370 bertumpu di kawasan lebih jauh ke selatan iaitu kawasan terpencil dikenali sebagai’lengkungan ketujuh’ di lautan tersebut.
Ia ditetapkan selepas memperhalusi data komunikasi satelit dan maklumat 
panggilan telefon selama 17 minit dari darat ke udara yang tidak dijawab
 selepas maklumat terakhir diterima daripada radar.
Senada dengan Abdul Rahmat adalah Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed 
Suffian yang berpendapat lokasi pencarian adalah tepat kerana ia 
berdasarkan analisis terperinci akan isyarat ‘ping’ yang berasal dari 
pesawat itu yang mana setiap ping mempunyai “pengenalan” nya yang 
tersendiri dan pengenalan ping ini menunjukkan yang ia memang berasal 
dari MH370.
“Lokasi di selatan Lautan Hindi yang di “tunjukkan” oleh Inmarsat dikukuhkan lagi oleh radar yang mengatakan pesawat MH370 telah bergerak ke laut Andaman.
Pencarian telah dilakukan dengan menggunakan aset yang mencukupi dan canggih.
“Cuma lokasi pencarian telah dikenal pasti lebih kurang seminggu selepas
 pesawat itu dilaporkan hilang. Dalam tempoh seminggu ini, serpihan atau
 pesawat tersebut mungkin telah dibawa arus ke lokasi-lokasi lain 
mengikut pola arah ombak dan angin. Inilah yang menyukarkan pencarian 
serpihan dan pesawat tersebut,” katanya.
Mohd Harridon yang juga ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat Universti
 Kuala Lumpur (UniKL) itu menjelaskan satu lagi perkara yang perlu 
diambil perhatian ialah kebanyakan serpihan ini diperbuat daripada bahan
 metalik yang mudah tenggelam, jadi pencarian adalah lebih kepada 
pencarian dasar laut dan ini mengambil masa yang agak lama.
Menurutnya ini kerana dasar laut di selatan Lautan Hindi mempunyai lurah
 dan bukit bukau yang menyukarkan lagi operasi pencarian dan disebabkan 
kawasan dasar laut ini belum lagi dipetakan, ia menyukarkan lagi 
pencarian.
Sehubungan itu, Mohd Harridon mencadangkan kaedah matematik digunakan untuk menambahkan lagi keberkesanan pencarian.
“Kaedah yang saya cadangkan ialah kaedah kebarangkalian iaitu “Bayesian 
Inference” di mana kaedah ini akan mengambil kira beberapa 
kebarangkalian dan kaedah ini akan mengambil kira pola angin, ombak, 
beberapa orientasi pesawat ini mungkin menjunam ke laut, berat pesawat 
berdasarkan minyak yang digunakan, dan lain-lain lagi.
“Dengan kaedah ini segala maklumat dan data akan diguna pakai dan 
kemungkinan ini akan mengecilkan lagi radius pencarian,” kata Mohd 
Harridon.
Mengenai persoalan apabila kerajaan dan pasukan pencari telah 
mengisytiharkan pesawat itu hilang, beliau berkata mengikut 
undang-undang antarabangsa, satu penyiasatan menyeluruh akan diadakan.
“Jika pesawat diisytiharkan hilang, tindakan seterusnya, mengikut undang-undang ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) Lampiran 13, adalah untuk membuat satu penyiasatan rasmi melibatkan pihak-pihak yang berkenaan.
“Antaranya ialah pemilik pesawat, negara di mana pesawat didaftarkan, 
pendaftaran, jabatan penerbangan di negara di mana pesawat didaftarkan, 
negara-negara asal penumpang, dan pengeluar pesawat akan bekerjasama di 
dalam penyiasatan tersebut.
“Daripada hasil penyiasatan tersebut, satu laporan komprehensif akan 
dijana mengikut standard dan format yang ditetapkan dalam Lampiran 13,” 
tambahnya.
Mengulas mengenai pampasan, Mohd Harridon berkata secara lazimnya, 
syarikat yang memiliki pesawat itu akan memberi pampasan kepada ahli 
keluarga.
Mohd Harridon menarik perhatian, jikalau penumpang ada mengambil 
insurans penerbangan, maka syarikat insurans itu akan memberi pampasan 
juga.
Kos operasi pencarian pula adalah berdasarkan persetujuan bersama di 
mana pihak Malaysia, Australia dan China telah bersetuju untuk 
menyumbangkan aset dan kakitangan untuk proses pencarian, katanya.
Dilaporkan, kerja mencari di dasar laut itu kini meliputi kira-kira 30 
peratus daripada 60,000 kilometer persegi kawasan pencarian dan 
kira-kira 208,000 kilometer persegi lautan telah dipetakan.
Jika tiada halangan dan kelewatan, keseluruhan operasi pencarian dijangka selesai pada Mei ini.
Empat kapal kini terlibat dalam misi mencari pesawat malang tersebut iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan terbaru Fugro Supporter yang dilengkapi kenderaan dasar laut (AUV).
“AUV akan digunakan bagi mengimbas bahagian kawasan pencarian yang tidak
 boleh diusahakan dengan berkesan menggunakan peralatan dalam 
kapal-kapal pencarian yang lain,” kata ATSB.
Kapal Fugro Equator,
 Discovery dan Supporter telah disediakan syarikat Belanda, Fugro dan 
dibiayai bersama-sama kerajaan Australia dan Malaysia, manakala GO Phoenix menerima kontrak daripada kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jabatan 
Kemajuan Islam (JAKIM) Mohd Ajib Ismail berkata solat ghaib boleh 
dilakukan jikatiada jenazah sampai kepada ahli dan waris keluarga.
“Mereka perlu tunggu pengisytiharan dahulu. Kemudian bolehlah solat 
ghaib dilakukan sama ada di kalangan mereka atau seluruh negara secara 
besar-besaran. Terpulang kepada kehendak masing-masing,” katanya.
Katanya, dari sudut pandangan agama, tidak berbangkit soal upacara 
pengebumian atau mengadakan kubur untuk anak kapal dan penumpang pesawat
 itu memandangkan tiada jenazah atau mayat ditemukan.
Selain solat ghaib, ahli dan waris keluarga dinasihatkan supaya sentiasa
 mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan pelbagai ibadah dan 
pada masa yang sama berlapang dada serta reda menerima ketentuan ini. 
 

 
No comments:
Post a Comment