اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Friday, January 30, 2015

Politik Najib Razak sedang nazak



Penulis TamuOleh Zulkifli Yahaya

LUMRAH dalam sesebuah parti politik, apabila seseorang penyandang mahu dijatuhkan maka alasannya adalah untuk menyelamatkan parti dari mengalami kekalahan dalam pilihan raya.
Demikianlah gerakan besar untuk menjatuhkan Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai presiden Umno dan perdana menteri sekarang ini. Tan Sri Sanusi Junid adalah nama yang sudah hilang dari kancah politik tanah air.

 Kini tampil mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan serangan perdana terhadap Najib sejak setahun lalu. Kata Sanusi, apa yang dilakukan Najib itu adalah untuk mempastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.


Katanya, Tun Mahathir hanya mahukan Umno dan BN menukar dasar dalam parti itu untuk memastikan kemenangan mereka. “Kalau dasar dan cara tidak ditukar, maka orang itu kena tukar, beliau bukan hendak Umno dan BN kalah,” kata Sanusi. Bekas menteri besar Kedah itu semacam mengiyakan tindakan Tun yang mahu Najib dijatuhkan.

Tun Daim Zainuddin, bekas menteri kewangan juga merupakan tokoh yang sudah luput tarikh politiknya. Kini bersekutu dengan Tun Mahathir menyerang Najib. Tan Sri A Kadir Jasin pendokong setia Mahathir yang menguasai media di zamannya, kini di barisan hadapan dalam melancarkan serangan terhadap Najib. Dato’ Seri Khairudin Abu Hassan yang dianggap “budak suruhan” Tun yang giat menjatuhkan Dato’ Seri Anwar penghujung tahun 90-an dahulu kini tekun pula menyerang kepentingan Najib. Nampaknya orang-orang Tun Mahathir sedang bekerja keras untuk memberi tekanan terhadap Najib.

Para pengampu BN menyifatkan serangan A Kadir Jasin macam pembangkang dan beliau pun kini terima serangan dari media BN macam pembangkang juga. Secara terbuka Kadir mengkritik perdana menteri kerana bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii pada 25 Disember lalu ketika banjir besar melanda kawasan Pantai Timur. Kadir menjadikan Julius Caesar dan Rom sebagai analogi bagi menggambarkan teruknya Najib.

Menariknya apabila serangan diledakkan terhadap Najib bertalu- talu oleh veteran Umno, maka tidak ramai yang muncul menjadi hero mempertahankannya seperti yang berlaku terhadap Tun Mahathir di persada kuasa dahulu. Kalau adapun hanya dari jenis penyokong yang bawa rebah seperti Syed Ali Al-Habshi. Pembelaannya terhadap Najib dan Datin Sri Rosmah Mansor sampai ramai kalangan orang Umno sendiri rasa melugai.

Apakah ini gambaran bahawa di kalangan kepimpinan Umno sendiri, mereka sangat mengharap agar Najib berundur? Ada logiknya. Dalam sebuah parti yang semua orang bersaing mencari kedudukan; satu kekosongan yang berlaku di puncak akan melonjakkan semua yang sedang menunggu di bawah ke atas.

Hakikatnya tanpa serangan dari geng Tun Mahathir pun, kedudukan politik Najib kini benar-benar nazak, berikutan krisis ekonomi negara. Kejatuhan teruk harga minyak memberi impak besar terhadap ekonomi negara yang sangat bergantung kepada minyak Petronas sebagai hasil negara.
Najib mengambil langkah memotong peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM5.5 bilion, bagaimanapun mengekalkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM49.5 bilion. Antara yang dikorbankan ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Bila ditangguhkan ia menjimatkan duit negara sebanyak RM400 juta.
Pemberian geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Tabung Amanah Kerajaan juga akan disemak, ia dijangka dapat memberi penjimatan RM3.2 bilion.
Kejatuhan nilai ringgit sebenarnya adalah petunjuk yang jelas bahawa Malaysia sedang mengalami krisis ekonomi. Najib degil untuk menerima hakikat tersebut. “Kita bukan dalam keadaan gawat atau krisis seperti pada tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009 yang lalu sehingga pakej stimulus perlu dilaksanakan,” kata Najib. Dengan menafikan realiti, Najib sebenarnya meletakkan negara dalam situasi bahaya.

Apatah lagi langkah-langkah penjimatan yang diambil banyak yang dipertikaikan.
Setiausaha Agung KeADILan, Rafizi Ramli menyifatkan langkah penjimatan yang diumumkan perdana menteri tidak menyelesaikan isu pokok. “RM400 juta itu (penangguhan PLKN) cuma harga dua biji jet sahaja. Baik dia jual dua biji jet untuk jimat RM400,” ujar Rafizi sinis.

Kerajaan Najib mungkin akan mula merasa kemasukan hasil “rampokan” baharu apabila GST dilaksanakan mulai April 2015 nanti. Semua penganalisis ekonomi meramalkan untuk fasa pertama pelaksanaan GST akan menyebabkan berlaku inflasi. Mangsanya ialah rakyat bawahan. Derita yang dialami rakyat adalah hasutan terbaik untuk menolak kerajaan yang memerintah. Ia berlaku selepas dua tahun Najib yang memimpin kerajaan mendapat mandat dari rakyat. Beliau akan mula merasai penurunan sokongan terhadap dirinya dan kerajaan, seperti yang dilalui Tun Abdullah Badawi selepas dua tahun mendapat mandat dalam pilihan raya (2004) selaku perdana menteri. Ia semacam ulangan kitaran politik.

BN tidak mendapat sokongan padu orang Melayu pada PRU 1999 tetapi undi Melayu kembali berpihak pada mereka pada PRU 2004.
BN tidak dapat sokongan padu Melayu pada PRU 2008 tetapi undi Melayu kembali lagi pada BN pada PRU 2013, hasil momokan rasis isu ketuanan Melayu. Apa pun hantu jarang dapat menakutkan orang selama dua kali. Atas andaian teori pendulum ini, sokongan Melayu terhadap BN dijangka tidak lagi padu pada PRU akan datang. Ini lagi satu cabaran yang sangat menakutkan Najib.

Situasi terkini meletakkan politik Najib Razak benar-benar dalam keadaan nazak. Sama ada beliau berundur atau tidak, ia tidak ba nyak mengubah suasana kegawatan dalam negara. Cuma tekanan yang kuat ke arah pengundurannya akan menambah pergolakan baharu dan mempercepatkan lagi kehancuran Umno dan BN. Rakyat sangat berharap itu berlaku.

Sumber : Detikdaily.

No comments:

Post a Comment