اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Monday, March 24, 2014

Kajang telah memilih – Satu tinjauan pemantau pilihan raya



DENGAN berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang pada 23 Mac 2014, maka berakhirlah satu lagi episod dalam pengendalian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan institusi awam terutama pasukan keselamatan kita, PDRM. 

 
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menang dengan majoriti 5,379 mengalahkan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Pada kali ini tidak timbul isu dakwat kekal yang tidak kekal mahupun isu pengundi hantu kerana barangkali SPR sudah belajar daripada kesilapannya dan majoriti yang diperolehi calon yang menang agak selesa.
Walau apa pun latar belakang kepada PRK Kajang ini sama ada ianya digelar ‘Langkah Kajang’ atau Langkah Taktikal seperti kata Anwar Ibrahim untuk mempertahankan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) daripada terus diserang dan diasak, namun hakikatnya ialah PRK perlu diadakan kerana seorang ADUN meletak jawatan. Soalnya ialah sama ada PRK diadakan secara bebas dan adil?
Sebagai badan bebas pemantau pilihan raya, Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) meneliti setiap pilihan raya dengan mata dan telinganya sendiri berasaskan kepada amalan dan tatakelola terbaik yang diiktiraf badan-badan pemantau sedunia.
MAFREL melihat kepada kepentingan pengundi agar mereka bukan hanya memiliki hak kepada pilihan raya yang tulen malah mereka berhak untuk mengetahui sama ada proses pilihan raya memberi peluang untuk kebebasan ekspresi kemahuan mereka melalui ketepatan rekod dan penghormatan kepada kemahuan berkenaan.  
Saya dan teman-teman sukarelawan MAFREL melakukan pemerhatian terhadap PRK Kajang, secara khusus hari mengundi pada 23 Mac 2014.
Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan MAFREL pada 10 Mac 2014, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah amalan rasuah, penjamuan, pembelian undi, salahguna sumber awam dan kerajaan, insiden keganasan atau kempen perkauman dan kebencian serta tahap keselamatan dan kekuatan pasukan keselamatan dalam mengawal suasana pilihan raya.
Laporan penuh sedang disediakan dan kebiasaannya akan siap dalam tempoh tiga hingga empat minggu, manakala laporan awal akan dikeluarkan lebih awal iaitu dalam satu atau dua hari selepas pilihan raya.
Tetapi saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk terus berkongsi pengalaman saya melaksanakan pemantauan di beberapa pusat mengundi PRK Kajang pada hari mengundi.
Kebiasaannya sesebuah PRK itu akan hangat kerana semuanya akan tertumpu ke situ sama ada jentera parti, SPR, pasukan keselamatan atau orang awam.
PRK Kajang tiada bezanya, hangat dan tegang di tambah pula dengan cuaca yang baik lagi panas terik.
Tinjauan pertama saya ialah ke Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Batu 10 Cheras yang terletak di tepi jalan yang agak besar dengan laluan trafik yang sedikit sesak tetapi terkawal.
Seperti biasa, pekerja parti rancak berkempen menarik perhatian pengundi untuk memilih calon mereka walaupun tempoh kempen telah tamat pada jam 12 tengah malam hari sebelumnya.
Di Batu 10 ini, atas nasihat sukarelawan MAFREL yang bertugas, pihak PDRM telah memberi kerjasama yang baik untuk memisahkan penyokong parti daripada berhadapan antara satu sama lain dan dengan itu meredakan ketegangan yang mungkin timbul.  
Begitu juga ‘pondok panas’ wujud dengan kaedah yang pelbagai dan kreatif iaitu daripada menggunakan bangunan atau gerai sedia ada kepada mendirikan khemah dan payung pacak. Tujuannya mungkin baik iaitu untuk membantu pemilih menyemak nama dan saluran mereka dalam daftar pemilih walaupun di dalam pusat mengundi juga tersedia barung SPR untuk tujuan yang sama (pernah terdapat kes nama di luar ada tetapi di dalam pusat mengundi tiada).
Peraturan tentang pondok panas ini sebenarnya agak kabur. Saya menerima aduan daripada satu parti bertanding yang mengatakan pondok panas mereka telah dirobohkan walaupun ada persetujuan dengan SPR.   
Bagi saya, sama ada ikut benar-benar apa yang termaktub dalam Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilih Raya) 1981 atau sediakan garis panduan yang jelas dengan penguatkuasaan yang adil.
Tinjauan saya seterusnya ialah ke Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat. Keadaan jalan amat sesak dan agak kecil berbanding di Pusat Mengundi Batu 10 tadi.
Ia tambah meriah, sesak dan hangat dengan pekerja parti yang berdiri di tepi jalan menuju ke pusat mengundi, sekali lagi untuk meraih pemilih pada saat-saat akhir.
Barangkali kerana emosi yang tinggi dan keterikan panas mentari, saya menyaksikan sedikit kekecohan antara penyokong parti yang bertanding berhampiran pusat mengundi sehingga mengundang kehadiran beberapa trak pasukan polis tambahan (FRU). Di fahamkan di tempat yang sama juga berlaku cubaan ‘menyerang’ Datuk Seri Anwar Ibrahim namun beliau telah dilindungi.
Akibatnya, jalan menuju ke pusat mengundi berkenaan sesak teruk malah difahamkan penduduk di sekitar kawasan pusat mengundi berkenaan juga terjejas apabila pihak polis trafik menutup sebarang kenderaan daripada memasuki jalan menuju ke Sekolah dari jalan besar.
Lebih malang lagi, ia boleh menjejaskan pemilih daripada mengundi di pusat mengundi berkenaan oleh kerana kesesakan yang melampau, tekanan penyokong parti dan kehadiran pasukan keselamatan yang besar yang boleh dilihat sebagai intidimasi dan menakutkan.
Itulah juga pemerhatian saya di beberapa lagi pusat mengundi di sekitar Sungai Chua iaitu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Chua, Balai Raya JKKK Kampung Baru Sungai Chua; Pusat Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan Sungai Chua dan Dewan Orang Ramai Sungai Chua.
Ke empat-empat pusat mengundi berkenaan terletak dalam radius satu kilometer dengan jalan masuk yang sama dan sempit, yang hanya sesuai untuk kenderaan ringan.
Mengapakah sehingga empat pusat mengundi dalam kawasan yang berdekatan?
Mungkin SPR lebih mengetahui tetapi tanggapan saya ialah kerana kawasan berkenaan mempunyai jumlah pemilih yang ramai dan pembahagian banyak pusat mengundi membolehkan pemilih mengundi dengan selesa tanpa perlu berjalan jauh, teorinya.
Realitinya, dengan banyaknya pusat mengundi, jalan yang sempit dan penyokong parti yang tegar dan setia berkempen, mungkin teori itu ada baiknya dinilai semula.
Tambah buruk dan mungkin ini di luar kawalan SPR, saya sendiri menyaksikan secara tiba-tiba pada jam 3.15 petang, kehadiran satu konvoi bas dan trak pasukan FRU dan Light Strike Force (LSF) yang juga memasuki jalan ke pusat-pusat mengundi berkenaan. Saya bertanya dengan orang-orang parti dan orang awam di situ, apakah ada aduan berlakunya pergaduhan atau keganasan yang menyebabkan FRU datang? Jawapannya tiada malah semuanya tenang.
Pasukan konvoi berkenaan menuju ke pusat mengundi SRK (C) Sungai Chua dan memarkir kenderaan mereka di tepi jalan tetapi selepas lebihkurang 15 minit, mereka pun bergerak keluar kecuali beberapa trak LSF. Apakah itu satu langkah pencegahan dan berjaga-jaga pasukan keselamatan atau satu langkah menakutkan dan mengintidimasi pemilih, terutamanya dalam kawasan majoriti Cina?
Saya memahami kenapa parti bertanding masih berusaha meraih sokongan pemilih bagi calon mereka kerana segala usaha dan kudrat perlu dimanfaatkan untuk kemenangan dalam suasana pilihan raya yang dianggap berat sebelah dan tidak benar-benar adil. Apatah lagi media massa dilihat memberi liputan yang tidak adil.
Namun saya berharap semua pihak boleh menghormati tempoh bertenang (walaupun satu hari sahaja pada hari mengundi) supaya pemilih boleh keluar mengundi dengan tenang tanpa desakan, tekanan dan kesusahan. Bukankah pilihan raya satu proses untuk kepentingan rakyat sendiri?
Di sesetengah negara, tempoh bertenangnya mungkin selama satu, dua atau tiga hari. Di Indonesia, tempoh bertenang mereka selama dua hari iaitu sehari sebelum hari mengundi dan hari mengundi.
Saya juga memahami kepentingan pasukan keselamatan untuk memastikan suasana pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat namun kehadiran pasukan secara berlebihan boleh menjejaskan hak pemilih untuk keluar mengundi secara bebas dan tanpa tekanan atau rasa takut.
Barangkali jika dibuat kajian ‘survey’ mengapakah peratus keluar mengundi rendah (72.1% berbanding dengan 87.9% dalam PRU13), mungkin antara faktornya ialah ketegangan dan kesesakan.
Soal sama ada pilihan raya bebas dan adil masih terbuka.
Pada pendapat saya, jawapannya terletak kepada kemahuan pihak kerajaan pemerintah dan SPR yang perlu menanggapinya sebagai amanah, bukan keistimewaan atau kepentingan-kepentingan lain.
Yang pastinya, iltizam rakyat perlu dijadikan asas pemerintahan kerajaan; iltizam ini akan dizahirkan dalam pilihan raya yang berkala dan sah menerusi hak memilih yang saksama dan sejagat, dan akan diadakan secara undi rahsia atau dengan prosedur pengundian yang bebas.
______________
Penulis ialah Pengerusi Malaysians for Free and Fair Election (MAFREL).

No comments:

Post a Comment