Sekurang-kurangnya tiga menteri dilaporkan akan meninggalkan Kabinet berikutan rombakan yang akan dilakukan tidak lama lagi.
Tiga menteri tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri 
Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Perdagangan Koperasi Negeri dan 
Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
 Datuk Seri Jamil Khir Baharum.
Portal Malaysian Digest memetik sumber pejabat Perdana Menteri sebagai 
berkata, rombakan Kabinet yang bakal menyaksikan penyingkiran menteri 
terbabit mempunyai kaitan dengan prestasi masing-masing.
“Mereka ini adalah antara nama yang disebut akan meninggalkan Kabinet 
kerana dilihat tidak dapat mengekang isu-isu melibatkan kementerian 
masing-masing dan meninggalkan segala-gala (untuk diuruskan) kepada 
Perdana Menteri.
“Perdana Menteri menerima pelbagai kesan ekoran ketidakcekapan menteri-menteri Kabinet,” kata sumber tersebut.
Sumber itu bagaimanapun tidak menjelaskan bila rombakan tersebut akan 
dilakukan, sebaliknya sekadar memberitahu “ia akan berlaku tidak lama 
lagi.”
Namun, rombakan tersebut mempunyai kaitan dengan kepimpinan baru MCA 
yang memungkinkan mereka akan menerima semula jawatan Kabinet termasuk 
Kementerian Pengangkutan.
Sumber itu turut membayangkan akan berlaku pertukaran porftolio dalam kalangan menteri.
“Apabila berlaku pertukaran portfolio tiga kabinet (yang dikosongkan), portfolio yang lain juga mungkin akan berubah, ” katanya.
Kementerian Perdagangan Koperasi Negeri dan Kepenggunaan menjadi antara 
tumpuan di tengah-tengah keresahan umum berikutan kenaikan kos sara 
hidup selain menerima tekanan kerana didakwa gagal menangani persepsi 
yang timbul berhubung isu itu.
Jamil Khir yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam pula menerima 
kritikan keras bukan sahaja dari dalam kerajaan, tetapi juga pertubuhan 
bukan kerajaan (NGO) Islam kerana dilihat terlalu pasif dalam isu 
kalimah Allah dan penyebaran fahaman Syiah.
Tengku Adnan pula dipalit dalam isu kenaikan cukai pintu di Kuala Lumpur
 serta kenyataan kontroversinya untuk mewujudkan Hard Rock Cafe di 
Putrajaya.
 ~new malaysia post
 
 
No comments:
Post a Comment