اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي سمعي نورا ، وفي بصري نورا ، وعن يميني نورا ، وعن شمالي نورا ، ومن بين يدي نورا ، ومن خلفي نورا ، ومن فوقي نورا ، ومن تحتي نورا ، واجعل لي نورا ، وأعظم لي نوراSelamat Datang Ke Suara Rakyat FM بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ أَصْـبَحْنا وَأَصْـبَحَ المُـلْكُ لله وَالحَمدُ لله ، لا إلهَ إلاّ اللّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لهُ، لهُ المُـلكُ ولهُ الحَمْـد، وهُوَ على كلّ شَيءٍ قدير ، رَبِّ أسْـأَلُـكَ خَـيرَ ما في هـذا اليوم وَخَـيرَ ما بَعْـدَه ، وَأَعـوذُ بِكَ مِنْ شَـرِّ هـذا اليوم وَشَرِّ ما بَعْـدَه، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنَ الْكَسَـلِ وَسـوءِ الْكِـبَر ، رَبِّ أَعـوذُبِكَ مِنْ عَـذابٍ في النّـارِ وَعَـذابٍ في القَـبْر ...بِسْمِ اللَّهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Saturday, July 12, 2014

Kisah Perisik M15 menyamar mualaf (Gambar)



Siti Salmiah A Hamid

Pada pandangan ‘sau­daranya’ yang ekstrem, dia adalah orang putih yang baru memeluk agama Islam dan bersemangat melakukan jihad. Hakikatnya, Morten Storm adalah perisik M15 dalam Perkhidmatan Perisikan Rahsia British dan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Sheikh yang dikenalinya adalah seorang lelaki yang mengagumkan, tinggi lampai dalam jubah putih, pedang tersisip di pinggang­nya, seorang ulama dan juga ahli falsafah.

Dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) dan berketurunan Arab, dia melarikan diri selepas kejadian 9/11 kerana bimbang menjadi sasaran Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Sheikh itu dianggap se­orang daripada tokoh utama Al-Qaeda berpengaruh dan berkarisma selain Osama bin Laden.
Foto
MORTEN bekas ejen yang menyamar dan menyusup masuk ke dalam Al-Qaeda hingga berpeluang membunuh Awlaki.
Foto
MORTEN menyamar sebagai tentera jihad selama lima tahun bergambar selepas memeluk agama Islam.
Foto
MORTEN menyertai bantahan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di London pada 2005.
Foto
AWLAKI menjadi sasaran Morten yang berselindung sebagai mualaf.
Morten mengembara ke Yaman pada 2009 untuk berjumpa Sheikh yang nama sebenarnya Anwar Al-Awlaki.

Awlaki sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang selamat dan menyampaikan mesej kebencian menerusi e-mel dan Internet.

“Saya berdoa agar Allah memusnahkan AS dan sekutunya.

“Kami akan melaksanakan undang-undang Allah di bumi ini,” kata Awlaki yang memakai jaket tentera menutupi jubahnya sambil menggalas Kalashnikov.

“Orang AS menuntut kematian saya,” kata Awlaki kepada Morten ketika mereka duduk bersama.

Pesawat AS drone (tanpa pemandu) merayau di langit menjejak Awlaki.

Menurut Morten, Awlaki bercerita de­ngan bang­ga me­ngenai orang-orangnya yang menyerang hendap tentera kerajaan Yaman dan mendapat senjata berat termasuk roket antikereta kebal untuk dihantar kepada pejuang Islam di Somalia.

“Awlaki mendesak saya pulang ke Eropah dan me­rekrut militan agar datang ke Yaman untuk mendapat­kan latihan.

“Tugas saya adalah untuk mencari, mengesan dan memaklumkan me­ngenai kegiatan orang yang berkongsi kepercayaan­nya dengan saya tidak lama dulu.

“Senarai sasaran teratas adalah Awlaki yang satu ketika adalah ‘abang’ dan rakan saya.

“Saya bawakan dia bekalan yang diminta seperti gogal visi malam dan komputer riba tetapi tanpa pengetahuannya terdapat peranti pengesan, ihsan daripada kawan-kawan baru saya, CIA.

“Awlaki memperkenal­kan saya kepada perisian khas yang dipanggil ‘Mujahideen Secrets 2.0’ yang unik dengan kod digital rahsia untuk mengunci dan membuka mesej,” kata Morten.

Peristiwa di Texas menarik Awlaki menjadikan dia sasaran utama CIA. Pada 5 November 2009, warga AS Mejar Nidal Hasan, 39, pakar psikiatri tentera memasuki pangkalan tentera Fort Hood dan menembak mati 13 orang dan mencederakan 30 orang lagi.

Menurut Hasan, dia tidak mampu bersabar untuk bersama Awlaki di akhirat yang membolehkan mereka berbual tanpa wain alkohol.

FBI menganalis e-mel terbabit, tetapi melabel mereka sebagai tidak berbahaya. Tetapi tidak lagi.

Agensi AS kini meneliti segala yang berkaitan de­ngan Awlaki. Mereka sudah melihat bagaimana Awlaki mengetuai pengikutnya di barat.

“Pada Mac tahun itu, saya mengatur pengumpulan dana rahsia menerusi Skype dengan sekumpulan pe­nyokong British-Pakistan di Rochdale. Beberapa doktor begitu bersemangat untuk menyumbang ke arah jihad.

“Mereka terpesona mendengar jawapan Awlaki yang mampu menjawab pel­bagai topik agama. Malah, saya masih menyimpan rakaman majlis itu. Awlaki mahir mengumpul dana seperti mana ahli politik AS.

“Bagi menghormati kematian Nidal Hasan, Awlaki menyeberangi Rubicon. Kata petugas CIA saya, sudah masanya untuk me­ngumpan dia keluar.

“Terbukti Awlaki bukan sasaran yang mudah. Peluru berpandu dilancarkan ke arah bilik mesyuarat yang dihadirinya bersama tokoh kanan Al-Qaeda dan laporan awal mengesahkan Awlaki terbunuh.

“Tetapi saya menerima e-mel berkod daripada Awlaki yang berbunyi: Phew. Hampir-hampir terkena.

“Tidak lama selepas itu, seorang pemuda Islam Nigeria cuba meletupkan dirinya di dalam pesawat yang terbang dari Amsterdam ke Detroit. Dia tidak berjaya, ditangkap dan ternyata misi syahid itu dirancang Awlaki,” kata Morten.

Tidak hairanlah apabila Presiden Obama membuat keputusan meluluskan pembunuhan warganya sendiri kerana Awlaki kini terbabit dalam plot keganasan.

Di Washington, pegawai perisikan mengkaji imej satelit kampung di Yaman, tempat yang dilawati Morten dan pasukan khas Yaman menyerbu untuk menang­kapnya.

“Malangnya, Awlaki tiada di situ pada hari kejadian. Sebahagian daripada pengikutnya mati termasuk orang yang saya kenal dan hormati.

“Perkara ini meresahkan saya kerana tersebar berita me­ngenai pekerjaan saya sebagai pemberi maklumat hing­ga membunuh ramai orang.

“Awlaki memberitahu, seluruh AS sudah bertukar menjadi negara jahat. Jihad menentang AS kini me­ngikat diri saya seperti mana ia mengikat orang Islam lain.

“Selama ini Awlaki tidak pernah mengesyaki saya, malah menganggap saya antara ‘saudara’ yang dipercayainya,” katanya.

Beliau berkata, kata-kata Awlaki menyentuh perasaannya, malah pada suatu ketika berada dalam dilema antara menangkap Awlaki atau tidak.

“Kunci penyelesaian ditemui apabila dia meminta saya carikan seorang wanita barat untuk dijadikan isteri.

“Melalui Facebook, saya menemui wanita cantik Croatia bernama Irena yang menukar namanya kepada Aminah selepas memeluk Islam. Dia juga fanatik seperti Awlaki.

“CIA merancang untuk menanam peranti pengesan dalam bagasi Aminah ketika dia ke Yaman untuk berkahwin dengan Awlaki dan akan membawa CIA kepada lelaki itu. Saya ditawarkan RM793,510 sebagai ganjaran,” kata Morten.

Semuanya berjalan lancar antara Aminah dan peranti pe­ngesan yang dilekat­kan pada beg­nya. Tetapi kemudian perkara tidak dijangka berlaku.

Atas arahan wakil Al-Qaeda, Aminah membuang beg terbabit di padang pasir. Tiada peranti pengesan ketika perjalanan ke rumah Awlaki.

“Kegagalan misi ini me­nyebabkan AS membekukan hubungan de­ngan saya. Mereka hanya menghubungi saya pada awal 2011.

“Keadaan terdesak apabila Awlaki terdedah sebagai perancang utama yang ingin meletupkan pesawat kargo AS.

“Dia benar-benar melakukan jihad di tempat kelahirannya. Ketika itu, Osama bin Laden sudah terbunuh dalam satu serbuan pasukan khas AS di rumah­nya di Pakistan. Tetapi Awlaki pantas mengambil tempatnya.

“Orang hubungan saya memberitahu, Awlaki adalah musuh nombor satu AS, tetapi bukan mudah me­ngumpan dia keluar. Pesawat tentera AS mengebom trak pikap yang dinaikinya, namun Awlaki sempat menukar kenderaan beberapa saat sebelum dibom.

“Perancangan itu memerlukan saya kembali ke Yaman dan mendekatkan hubungan dengan ‘saudara’ lama saya.

“Saya diberi latihan senjata intensif pada senapang ringan dan Kalashnikovs selain diajar menembak me­nggunakan kedua-dua belah tangan dan mengelak bom ketika memandu.

“Rakan ejen berkata: Anda melakukan kerja yang paling berbahaya di dunia jadi pastikan tuntutan anda dipenuhi,” katanya.

Katanya, bersemuka dengannya pasti saat yang sukar.

“Agak perlahan untuk mendapatkan Awlaki, tetapi sedikit demi sedikit saya menghampiri lelaki berbahaya di dunia itu.

“Saya menerima laporan agensi seperti CIA yang gembira dengan perkembangan itu sehingga mereka menawarkan saya RM1.5 juta jika berjaya mendapatkannya.

“Saya mengatur perjumpaan dan menunggu. Akhirnya pertemuan ditetapkan dengan pengikutnya di tempat letak kereta restoran KFC di Sana’a.

“Saya menyerahkan beg sukan yang berisi bekalan kepada kurier yang tiba. Saya menerima e-mel daripada Awlaki tiga hari kemudiannya mengesahkan dia menerima barang itu,” katanya.

Menurutnya, pada Ogos, dia bercuti dan pulang berehat di rumah bersama keluarga di Eropah. Dia mempunyai anak lelaki, Osama dan anak perempuan, Sarah hasil daripada isteri pertama, Karima.

“Sewaktu ketiadaan saya, permintaan barangan Awlaki dipenuhi pengikutnya dan AS yang memantau pertukaran barangan itu me­ngesan kedudukannya.

“Suatu hari pada Sep­tember, berita di televisyen mengenai drone CIA yang berlepas dari Arab Saudi dan tepat menembak ke arah trak pikap di padang pasir Yaman.

“Peluru berpandu Hellfire dilancarkan dan Awlaki bersama enam anggota Al-Qaeda terbunuh serta-merta. Akhirnya AS membunuh lelaki yang dianggap paling berbahaya.

“Selepas cerita ini tersebar, tekanan ke atas rahsia hidup saya akan bertambah, malah jauh daripada bantuan perlindungan kerana ketua saya pasti akan meng­khianati saya nanti,” kata Morten.
-hmetro-

No comments:

Post a Comment