Saya terpanggil untuk memberikan pandangan tentang keresahan Dr Mahathir terhadap kedudukan bangsa Melayu di dalam pembangunan Johor Baru yang akan merupakan pembangunan fisikal yang begitu drastik seperti yang di rancang. Pelan pembangunan Johor Baru itu merupakan pelan pembangunan yang akan memberikan imej Johor Baru sebagai New York dalam mana akan terdapat puluhan bangunan pencakar langit dengan ‘finishing’ struktur yang mahal-mahal dan akan membuatkan orang Melayu tertinggal kebelakang lebih jauh lagi.
Justeru ‘ultimate’ kita untuk melihat
setiap bangsa duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi tidak akan tercapai dan
Melayu akan berada dalam keadaan seperti 'itik kehausan dalam air' dan 'ayam mati
dalam kepuk padi'. Bagi orang seperti saya tidak pula saya tahu pembangunan yang
dirancang oleh kerajaan Johor itu mengambil kira isu ini kerana kestabilan
politik negara kita besar penggantungannya kepada kedudukan bangsa Melayu yang
merupakan bangsa yang terbesar di negara ini.
Najib yang secara tidak langsung
telah mengaku dirinya sebagai seorang yang sangat berkepimpinan itu diharap
berfikir panjang tentang apa yang hendak dilakukan itu, membuktikan kepimpinan
beliau di sini. Pemimpin yang sebenarnya berkepimpinan akan berjaya mengimbangi
kemajuan semua bangsa yang berada di dalam negara ini tetapi apa yang akan
berlaku di Johor Baru adalah sebaliknya. Orang melayu akan berundur jauh
disudut dunia nanti.
Saya ingin menarik perhatian
ramai kepada kenyataan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana
Menteri semasa berucap dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung UMNO pada
tahun 1972 dahulu. Perhimpunan itu merupakan perhimpunan agung yang terakhir
yang beliau hadir sebelum beliau meninggal pada tahun 1973 dahulu. Orang yang
masih hidup dan sihat yang berada bersama dalam Majlis Tertinggi UMNO semasa
itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah sahaja. Dr Mahathir beluim lagi diterima
kembali kedalam UMNO dan beliau semasa itu berada diluar UMNO setelah dipecat
oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969.
Tun Dr Ismail telah memberikan
alasan kenapa kerajaan tidak mahu bertindak untuk membangunkan negara dengan
cepat sedangkan semasa itu kata beliau, kita mampu mungkin untuk mencapai
pembangunan pesat sehingga sepantas ‘double-digit growth’. Tetapi adalah dalam
perancangan kerajaan untuk memperlahankan pembangunan untuk mempastikan sudah
ada persediaan bagi kaum-kaum yang ketinggalan dari semua sudut untuk
bersama-sama menikmati pembangunan yang bakal kita lalui nanti.
Tun Dr Ismail bercakap dengan
penuh kesedaran betapa perancangan yang teliti dilakukan bagi mempastikan
negara dibangunkan dengan mengendung sekali matlamat untuk menjadikan
kesaimbangan kedudukan semua bangsa yang dikatakan 'berdiri sama tinggi duduk
sama rendah itu'. Pimpinan semasa itu memikirkan banyak perkara dan isu sebelum
merancang pembangunan negara agar tidak menghasilkan kecelaruan kepada rakyat
yang berbilang kaum ini. Perancangan semasa itu penuh dengan ‘wisdom’. Segala
perancangan untuk rakyat dan negara itu telah difikirkan betul-betul dengan
matlamat yang jelas dan laluan ke matlamat itu jelas dan telus.
Itu sebabnya dalam era tujuh
puluhan selepas kematian Tun Dr Ismail kerajaan sesungguhnya melaksanakan
impian kerajaan itu dengan sepenuhnya tanpa banyak memikirkan untuk kepentingan
keluarga dan peribadi. Itu sebabnya pimpinan semasa itu mudah melaksanakan
segala dasar kerana sifat mereka yang jujur terhadap tanggungjawab mereka yang
hanya untuk negara.
Mempertimbangkan cara dan kaedah
serta kepantasan pembangunan pun ditentukan dengan semangat dan jiwa untuk
rakyat. Di samping membangunkan negara pimpinan semasa itu mengendung sekali
tanggungjawab untuk tidak meninggalkan tanggungjawab terhadap bangsa yang
ketinggalan yang kebetulan adalah dikalangan bangsa Melayu dan bumiputra.
Semua syarikat ‘public companies
by guarantee’ yang kini dipanggil GLC bertanggungjawab untuk membangunkan
perniagaan dan memegang perniagaan itu sebagai 'trustee' terhadap orang Melayu
dan bumiputra. Dalam hujung tahun tujuh puluhan dan awal lapan puluhan syarikat-syarikat
GLC yang maju itu dipindahkan kepada bumiputra yang masih belum berkemampuan
untuk melalui saham amanah dan berbagai-bagai cara lagi.
Tetapi kini GLC diperguna oleh
mereka yang rapat dengan kuasa untuk kepentingan beberapa kerat yang diberikan
tanggungjawab untuk menguruskan syarikat-syarikat tersebut. Malahan GLC tidak
pun memberikan munafaat kepada bumiputra sampai kehari ini sejak tahun lapan
puluhan dahulu. GLC hanya membentuk dan membina ego sebahagian kecil beberapa
kerat individu yang dianggap professional dan dasar untuk memberikan faedah
kepada orang melayu dan bumiputra itu diabaikan samasekali.
Sampai sekarang matlamat
penyertaan orang Melayu dan bumiputra untuk duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi itu tidak tercapai dan ia tidak mungkin
tercapai sampai bila-bila.
Pimpinan sedang menggila untuk
melihat pembangunan sepesat negara-negara seperti AS dan Eropah tetapi anak
watan tidak akan merasakan nikmatnya. Percayalah ia tidak akan membawa apa-apa
faedah kepada kaum yang masih ketinggalan.
Sekarang Dr Mahathir yang
perencana kepada pembangunan pesat yang telah mengabaikan nasib orang
Melayu, merasa resah gelisah dan beliau harus mengakui yang sikap
membangunkan negara
tanpa perancangan untuk kepentingan rakyat itu bermula dari zaman beliau
sendiri.
Sekarang beliau berkata benar dan
menyalahkan beliau kerana membina sikap ini kepada beliau itu juga benar.
Pembangunan di Johor itu tidak akan membawa orang Melayu dan anak watan
kehadapan malahan ia akan mengundurkan Melayu dan bumiputra jauh kebelakang
dalam jangka masa yang cepat dan tangkas.
Selepas ini orang melayu akan
hanya dapat berkata. Ooh! Ooh! Sahaja setiap hari. Orang melayu apabila
diberitahu ini pembangunan yang terpesat dirantau ini mereka akan hanya mampu
berkata, ooh! Oh! sahaja.
Apabila diberitahu kepada orang
Melayu yang melihat pembangunan itu hanya mampu dibeli dan didiami oleh orang
kaya raya dari Singapura dan China
sekali lagi orang Melayu akan hanya berkata, ooh! ooh! sahaja kerana itu sahaja
yang mereka ada, iaitu 000.
Maka pembangunan pesat di Johor
ini nanti merupakan permulaan kepada bangsa Melayu khususnya Melayu Johor untuk
beransur-ansur masuk kepinggiran hutan untuk memberikan laluan kepada mereka
yang mendapat keistimewaan dari pihak pemerintah kita.
Kepada Dr Mahathir elok kita
ingatkan satu perbilangan Melayu yang popular, ‘jika bapa kencing berdiri, anak
akan kencing berlari’.
Selamat hari jadi yang ke 89
kepada Tun Dr Mahathir, semoga dipanjangkan usia dan berada dalam kesihatan
yang baik sentiasa, sambil menyaksikan hasil kerja beliau sendiri semasa
berkuasa dahulu. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.
Kalau kata-kata semangat ‘Melayu
tidak akan hilang didunia’ itu sudah tidak boleh dipakai lagi, kerana ‘Melayu
akan hilang dunianya’.
Sumber : http://aspanaliasnet.blogspot.com
No comments:
Post a Comment