Takiyuddin Hassan 
  •  Takiyuddin Hassan
SHAH ALAM – ‘Sepatutnya tidak wujud kerajaan BN atau kerajaan PR,’demikian reaksi Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung kerjasama yang terjalin baru-baru ini antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Kelantan.

Menurutnya, sebaik pilihan raya selesai dan mandat diberikan kepada mana-mana parti, kerajaan tersebut perlu berkhidmat kepada rakyat mengikut tanggungjawab masing-masing dengan mengetepikan soal perbezaan ideologi.

Jelasnya, ia bagi memastikan semua pihak mendapat hak yang sewajarnya tanpa ada yang disisihkan.

“Pada pemahaman saya, sepatutnya tidak wujud kerajaan BN ataupun kerajaan PR...kerajaan Pas.

“Sepatutnya peranan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri harus berteraskan kepada Perlembagaan kita. Dalam Perlembagaan, ada jadual negeri dan ada jadual Persekutuan.

“Dengan kata lain, hak-hak kerajaan negeri walau siapa pun jadi pemerintah, harus dijamin. Begitu juga hak kerajaan Pusat di peringkat negeri,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berpendapat, sekiranya semua kerajaan diberi layanan yang sama oleh kerajaan Persekutuan meskipun berbeza parti, ia akan memberi manfaat bukan saja kepada rakyat malah kepada kerajaan Persekutuan.

“Kalau kerajaan negeri yang dipimpin oleh mana-mana parti pun diberi layanan yang sama oleh kerajaan Pusat yang mungkin dipimpin oleh parti yang berbeza, itu memberi manfaat kepada rakyat.

“Mungkin juga kalau kerajaan Pusat memberi layanan yang baik kepada kerajaan negeri walaupun parti yang berbeza, itu akan memberi satu kredit kepada kerajaan Pusat untuk dipilih di peringkat negeri pada pilihan raya berikutnya,” katanya.

Tambahnya lagi, hanya tiga kerajaan yang sepatutnya wujud selepas pilihan raya iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

“Tapi, apa yang berlaku sekarang ini, kita lebih nampaknya macam kerajaan ini mengikut parti. Sepatutnya tidak berlaku begitu.

“Untuk memberi manfaat kepada rakyat, tidak semestinya gabungan Pas dan Umno itu satu-satunya pilihan yang ada,”katanya.

Malah katanya, kerjasama antara Pas dengan Umno bagi membantu rakyat di Kelantan setelah sekian lama tidak sehaluan memang sukar dilalui.

 “Bagi saya, untuk menggabungkan atau kerjasama yang dikatakan Pas dengan Umno ini bukan satu perkara yang mudah.

“Tapi pada saya, perpaduan itu satu benda yang baik kalau boleh berlaku. Ia amat sukar. Perlu dibincang, diteliti dan dilihat dalam aspek yang boleh diterima oleh semua pihak. Itu benda baik tapi realitinya bukan mudah,” katanya.

Sumber : Sinar Harian