Oleh Wan Anis Ilyani bt Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM : Meskipun dua produk coklat Cadbury disahkan tidak mempunyai
DNA babi namun Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghantar sampel yang sama bagi
tujuan analisa buat kali ketiga yang dijalankan oleh makmal bebas di
luar negara.
Menurut Timbalan Presiden FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah, ia perlu
dilakukan bagi lebih menyakinkan pengguna kerana wujud dua keputusan
berbeza antara Jabatan Kimia hari ini dengan Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) pada 24 Mei lalu.
"Kelemahan di dalam pengumuman keputusan awal atau semasa penemuan oleh
KKM itu, sebelum satu analisa 'cross-check' dilakukan untuk mengatakan
penemuan KKM itu adalah sesuatu yang pasti. Ini menjadikan ia semakin
keruh kerana keputusan kedua adalah negatif.
"Sepatutnya JAKIM perlu memberikan sampel ini kepada makmal di luar
negara. Memberi sampel yang sama untuk mendapatkan kepastian oleh kerana
ada dua keputusan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Muhammad Shaani mengulas pengesahan halal Cadbury Dairy Milk Roast
Almond dan Cadbury Dairy Milk Hazelnut yang disahkan tidak mempunyai DNA
babi sebagaimana diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Jamil Khir hari ini.
Lebih lanjut, katanya, keputusan terbaharu Jabatan Kimia tersebut
barang kali disebabkan oleh amaun bahan yang dikhuatiri mempunyai unsur
babi itu terlalu kecil yang berkemungkinan merumitkan proses analisa.
"Kita juga harus memahami sebarang analisa kimia adalah bergantung
kepada banyak penggubah seperti masa, cara pensampelan dan kaedah boleh
mempengaruhi keputusan.
"Ada masa analisa menunjukkan 'traces' iaitu tidak boleh dilaporkan
dalam sesuatu unit. Jika kita faham bentuk analisa kimia, maka kita akan
lebih bersedia untuk menerima bahawa ada masanya analisa menunjukkan
keputusan positif atau sebaliknya
"Yang dicari (penyelidikan) bukanlah satu ramuan atau bahan yang tulen.
Ia adalah bahan yang terhasil daripada bahan (unsur) babi. Bukan
berbentuk daging atau tulang," ujarnya lagi.
Keputusan itu diperolehi selepas analisa yang dilakukan Jabatan Kimia
di Petaling Jaya, Selangor iaitu makmal yang diakreditasi JAKIM untuk
mengesan DNA babi.
Bagaimanapun Shaani tidak mahu golongan pengguna di negara ini terlalu
bergantung kepada keputusan analisa terbaharu JAKIM kerana masih punya
cacat celanya.
"Kita juga tidak boleh bergantung seratus peratus kepada Jabatan Kimia.
Jabatan Kimia juga tidak sempurna. Apabila mereka menyertai ujian-ujian
antara makmal termasuk antarabangsa, kita dapati ada masanya keputusan
mereka tidak tepat. Ini bermakna Jabatan Kimia bukan satu titik rujukan
yang muktamad," demikian menurutnya.
Selepas kontroversi status Halal JAKIM terhadap dua produk Cadbury ini
dipersoal, Shaani mengingatkan agar agensi berkenaan bersikap lebih
terbuka terhadap kepentingan pengguna.
"JAKIM tidak terlalu mengekang ruang untuk rakyat mempersoal peranan ke
atas mereka. Sesiapa sahaja bebas melakukan ujian ke atas produk
makanan untuk menyemak ia mematuhi sijil Halal atau tidak. Malah orang
ketiga juga bebas membuat ujian sebegitu supaya kita yakin proses
pensijilan Halal JAKIM mantap," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment