Wanita yang mendakwa seorang pegawai Malaysia melakukan serangan seksual
terhadapnya hari ini membuat keputusan mendedahkan dirinya kepada umum
bagi membincangkan penyelewengan dalam cara New Zealand menangani kes
tersebut dan melayan mangsa seksual.
Tania Billingsley, 21, dengan sukarela 'mengangkat' segala halangan ke
atas namanya supaya boleh berkongsi fikirannya dengan media berkenaan
aduan terhadap bekas kakitangan pembantu pertahanan di Suruhanjaya
Tinggi Malaysia di Wellington, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman
Ismail.
Menurut laporan, Rizalman, 38, ditahan pada 9 Mei lepas dan didakwa di
mahkamah pada keesokan harinya kerana melakukan pecah rumah dan serangan
seksual dengan niat untuk merogol.
"Saya rasa saya ada sesuatu untuk diperkatakan mengenai kes ini,” katanya dipetik media New Zealand hari ini.
"Ia berlaku kepada saya dan sepanjang proses ini, terutamanya apabila ia
diketahui ramai sekarang, suara saya masih belum didengari. Dan sudah
tentu saya ada banyak perkara untuk diperkatakan. Saya bukan hanya
seorang pemerhati.”
Dia bagaimanapun pulang ke Malaysia pada 22 Mei menggunakan imuniti diplomat.
Kementerian Pertahanan menubuhkan lembaga siasatan tetapi dalam masa
yang sama bersetuju menghantar pegawai tentera itu balik ke New Zealand.
Buat masa ini dia sedang menerima rawatan di Hospital Tentera Tuanku
Mizan.
Billingsley bercakap kepada media perasaannya apabila mendapat tahu Rizalman dibenarkan pulang ke Malaysia.
"Sudah tentu saya kecewa. Dan saya marah. Kerana, dari awal lagi saya
katakan yang saya hendak dia berada di sini dan bertanggungjawab atas
apa dilakukannya,” katanya. ~tmi
Selanjutnya di sini : http://www.stuff.co.nz/national/10249308/Alleged-victim-named-in-Malaysian-diplomats-attempted-rape-case.
No comments:
Post a Comment